Minum kopi sebahagian daripada cara hidup atau dalam erti kata lain, tabiat minum kopi adalah budaya seluruh dunia, namun persoalannya adakah kopi boleh diminum ketika perut kosong, terutama di waktu pagi?
Dietitian Kanan Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivy Cheah, berkata terdapat banyak bukti menunjukkan potensi manfaat kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan kopi termasuk perlindungan terhadap diabetes tahap 2, barah hati dan pengurangan penyakit jantung.
Walau bagaimanapun, persoalan sama ada minum kopi ketika perut kosong sering timbul; lebih-lebih lagi ketika individu berpuasa intermittent iaitu kombinasi berpuasa dan diselang-selikan dengan rutin pemakanan yang biasa dilakukan.
Katanya, kesan minum kopi ketika perut kosong adalah berbeza pada setiap individu, sesetengah mungkin mengalami masalah ketidakselesaan atau mengganggu pencernaan, sementara yang lain mungkin tidak menyedari kesan buruk.
“Faktor seperti kepekaan terhadap kafein, kesihatan keseluruhan dan metabolisme berperanan dalam menentukan kesannya.
“Satu kebimbangan lagi ialah kopi meningkatkan pengeluaran asid perut yang membawa kepada gejala seperti asid refluks, pedih ulu hati atau gastritis,” katanya
Meskipun kebanyakan data tidak menyokong kesan langsung kopi pada refluks asid (yang merupakan kesan gabungan kepada faktor risiko lain seperti obesiti dan diet yang buruk ), mereka yang mengalami masalah gastrousus atau perut yang sensitif mungkin lebih cenderung mengalami gejala ini.
Katanya lagi, untuk mengelakkan sebarang gejala atau menghindari keadaan kesihatan yang tidak diingini berlaku terhadap individu, ambil dahulu sedikit makanan lain sebelum menghirup kopi.
“Individu disarankan untuk bersarapan atau mengambil makanan ringan sebelum mengambil secawan kopi terutama bagi mereka yang sudah mengalami gejala gastrousus.
“Pengambilan kopi juga boleh mengganggu penyerapan nutrien tertentu seperti zat besi kerana sebatian polifenol dalam kopi seperti tanin, menghalang penyerapan zat besi menjadikannya kurang tersedia; mengurangkan jumlah yang diserap oleh badan kita,” katanya.
Dengan kata lain, bagi mereka yang mengalami anemia atau kekurangan zat besi, lebih baik mengelakkan kopi pada waktu makan dan minum kopi itu sekurang-kurangnya satu jam selepas makan.
Selain membuatkan individu berjaga, kafein dalam kopi juga terkenal dengan kesan diuretiknya, meningkatkan pengeluaran air kencing dengan sebilangan mungkin bimbang jika pengambilan kafein boleh menyebabkan dehidrasi.
Tidak mungkin, kerana kebanyakan penyelidikan menunjukkan bahawa cecair dalam kopi dan minuman berkafein lain dapat menyeimbangkan kesan diuretik tahap kafein khas. Walaupun begitu, jika masih membimbangkan individu, hidrat dengan segelas air sebelum mendapatkan secawan kopi.
Oleh itu, minum kopi dengan perut kosong boleh menyebabkan kekurangan bagi beberapa individu, ia tidak berbahaya secara universal. Sensitiviti terhadap kafein, kesihatan keseluruhan, dan keperluan pemakanan individu adalah faktor penting yang perlu dipertimbangkan.
Mengambil kopi secara sederhana pada waktu yang sesuai, penghidratan yang mencukupi dan pilihan individu dapat membantu meminimumkan kemungkinan kesan negatif, jika ada.
Ivy turut menasihatkan individu berunding dengan pengamal penjagaan kesihatan professional atau pakar diet berdaftar yang dapat memberikan panduan yang diperibadikan berdasarkan keperluan dan keadaan kesihatan seseorang.
Banyak manfaat minum kopi, namun adalah lebih elok sekiranya kandungan gula dan krimer dalam kopi yang diminum dikurangkan.
“Ini kerana, kopi membantu untuk mengurangkan risiko diabetes tahap 2, namun bimbang jika anda kerap meminum kopi susu yang manis, penyakit diabetes tidak dapat dielakkan,” katanya.