Friday, October 18

ZafigoX 2024 Rejuvenation perkasakan wanita dengan semarak inspirasi, terokai potensi diri

Laman sesawang khusus untuk wanita, ZafigoX menganjurkan acara ZafigoX 2024: Rejuvenation pada 12 dan 13 Oktober ini dengan pengisian persidangan serta bengkel dikendalikan personaliti pakar dalam bidang masing-masing.

Pengasas ZafigoX, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, pihaknya gembira kerana dapat kembali beraksi pada tahun ini setelah sekian lama menyepi akibat pandemik.

“ZafigoX 2024:Rejuvenation bukan sekadar platform untuk wanita; ia turut dijayakan oleh wanita serta satu gerakan ke arah penemuan semula diri  dan memperkasakan antara satu sama lain agar  dapat menjalani kehidupan dengan baik menerusi pengembaraan.

“Barisan penceramah kami pastinya dapat membakar semula semangat, memupuk rasa cinta terhadap penerokaan, dan mendorong perubahan positif dalam kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan media kepada Zonasuri.

Pada hari pertama acara, akan berlangsung bengkel individu dikendalikan oleh bakat dan pakar tempatan yang merangkumi pelbagai bidang, dengan bayaran hanya RM50 seorang.

Chef Sapna Anand, chef selebriti dan pengajar, pengacara Fast Indian Cooking by Sapna, mengajak anda menerokai gabungan rasa rempah ratus Malaysia dengan coklat bagi menghasilkan hidangan yang unik. 

Jika berminat dengan bidang seni tari, bengkel kendalian January Low mengajak wanita menerokai pengalaman mengamalkan keprihatinan menerusi pergerakan dan anda berpeluang menyelami seni tarian klasik India, Odissi.

Bagi penggemar aktiviti menulis jurnal, anda boleh belajar mendokumentasikan pemikiran dan perjalanan secara visual dengan membuat jurnal bersama Tercia Goh yang juga penulis jurnal terkemuka @skybambi.

Pilihan lain, ikuti bengkel kendalian Cassandra J Poyong dengan menguasai teknik-teknik utama Jiu-Jitsu Brazil bagi melindungi diri anda semasa mengembara.

Tercia Goh @skybambi

Pada hari kedua, akan berlangsung persidangan membabitkan penceramah dari United kingdom, Asma Khan, Dr Mona Minkara yang lebih dikenali sebagai ‘Pengembara Buta’, memperjuangkan akses kepada pengembaraan dan pengangkutan untuk komuniti orang buta.

Selain itu, ada juga wartawan dari Palestin, Plestia Alaqad dalam sesi bual bicara di mana beliau akan berkongsi pengalaman peribadinya dan pakar etika terkemuka antarabangsa dan pengacara rancangan terbitan Netflix, Sara Jane Ho.

Chef Sapna Ahmad

Ahli panel lain, Suri Kempe, pejuang hak asasi manusia dan kesaksamaan gender terkemuka dan Red Hong Yi, artis kontemporari yang terkenal di peringkat antarabangsa kerana menggunakan objek harian dalam karyanya.

Acara ini turut menampilkan Datuk Nicol Ann David dalam sesi bual bicara bersama pengasas Zafigo.com, Datin Paduka Marina Mahathir. Datuk Nicol akan berkongsi peranan beliau dalam usaha memperkasa belia daripada komuniti B40 dan M40 menerusi pertubuhan Nicol David.  

Bayaran penyertaan untuk menyertai persidangan pada hari kedua pula  ialah RM150 seorang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *