Friday, April 19

Cara mudah mengenal pasti ketulenan madu

KUALA LUMPUR: Madu mempunyai pelbagai khasiat sama ada untuk kesihatan mahupun kecantikan. Bagaimanapun, tidak semua madu yang ada di pasaran asli kerana kebanyakannya sama ada dicampur gula ataupun diperbuat daripada gula.

Ada yang mengatakan madu yang tidak asli akan dikeremuni semut kerana kandungan gula, manakala madu asli tidak akan didekati semut.

Di Malaysia, madu asli dihasilkan oleh dua jenis lebah iaitu lebah madu (lebah) dan lebah kelulut (kelulut). Lebah madu adalah lebah yang menyengat (stinging bee), manakala lebah kelulut adalah lebah yang tidak menyengat (stingless bee).

Kajian beberapa penyelidik tempatan antaranya penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail mendapati madu bukan sahaja boleh mengurangkan batuk, tetapi juga berpotensi untuk mengurangkan berat badan.

Penyelidik UMT, Prof Madya Dr Wan Iryani bersama produk madu yang dihasilkan berdasarkan kajiannya.

Kajian beliau iaitu Can Honey Consumption Control Obesity? A New Notion in Understanding the Mechanism of Action pernah diterbitkan dalam beberapa jurnal saintifik sejak tahun 2017, manakala jurnal yang berkaitan diterbitkan sejak 2013.

Berdasarkan kajian itu mendapati madu asli berkhasiat bagi membantu mengurangkan masalah berat badan. Caranya adalah dengan minum air suam sebelum sarapan diikuti setengah sudu madu kelulut tanpa dicampur air dan selepas setengah jam, baru boleh mengambil sarapan.

Bagi mengurangkan gejala batuk pula, Dr Wan Iryani menasihatkan pengguna supaya mengamalkan mengambil satu sudu teh madu kelulut sebanyak tiga kali sehari atau mencampur madu dengan air kunyit (tumbuk kunyit hidup) dan minum apabila perlu.

Madu tulen mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. (Gambar Shuuterstock)

Berikut adalah cara paling mudah bagi orang ramai mengetahui ketulenan madu adalah menerusi deria, iaitu:

1. Warna atau rupa

Madu asli walaupun selepas diproses akan berwarna keruh, manakala madu tiruan yang dicampur air atau gula akan berwarna jernih. Warna keruh itu disebabkan banyak kandungan bahan aktif yang boleh didapati di dalam madu asli seperti debunga, protein, mikrob probiotik dan beberapa bahan yang lain.

2. Bau

Penilaian menggunakan bau agak mudah kerana madu asli berbau sedikit kedesaan iaitu seakan bau harum bunga atau kayu. Madu tiruan pula akan berbau manis seperti karamel.

3. Rasa

Madu tiruan akan mempunyai rasa karamel kerana dicampur gula. Madu asli pula mempunyai rasa yang berbeza mengikut musim. Jika madu itu diambil pada musim bunga, rasanya sedikit manis, manakala pada musim hujan rasanya agak masam. Selain itu jika madu kelulut itu diambil daripada pokok getah, rasanya agak pahit.

Gambar utama: Kredit Diabetes Self-Management

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *