Wednesday, October 30

Kitakurang Tangani obesiti dengan berkesan

Datuk Dr Nik Ritza Kosai ketika memberikan penerangan kepada media mengenai kempen pengurusan obesiti.

Obes adalah perkataan yang menakutkan bagi kebanyakan individu kerana apabila dikategorikan sebagai obes, banyak penyakit lain akan muncul seterusnya merencatkan mutu kesihatan serta kehidupan seharian.

Sehubungan itu, penting untuk individu menjaga berat badan dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi menjamin hidup yang lebih bermutu serta dapat melakukan pelbagai aktiviti tanpa sebarang kekangan.

Kempen Kitakurang yang dianjurkan oleh Allurion dengan kerjasama K-Talyst baru-baru ini meraikan peserta yang berjaya menurunkan berat badan secara perubatan dengan sokongan pasukan kesihatan di bawah pemantauan doktor bariatrik

Ketua Unit Pembedahan Gastrointestinal Atas, Metabolik dan Bariatrik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Nik Ritza Kosai, berkata sebahagian besar individu dewasa di negara ini mengalami obesiti.

“Obesiti menjadi satu pandemik di Malaysia dengan 50.1 peratus populasi dewasa mengalami berat badan berlebihan, di mana dari jumlah itu, sebanyak  19.7 peratus adalah obes; dengan prevalens keseluruhan sebanyak 18.3 peratus untuk diabetes.

“Lebih membimbangkan, menjelang 2035, 41 peratus rakyat Malaysia dijangka mengalami obesiti dan ini akan memberi impak kepada kos penjagaan kesihatan keseluruhan negara,” katanya pada majlis makan malam kempen berkenaan di Petaling Jaya, baru-baru ini.


Datuk Dr Nik Ritza Kosai (kiri) dan Kevin Toh pada majlis pengurusan obesiti di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan K Talyst (M) Sdn Bhd, yang juga pengedar tunggal Allurion, Kevin Toh dan Naib Presiden Jualan Antarabangsa, Allurion Technologies, Javier Ibanez.

Kitakurang adalah program bersifat holistik, dimana usaha penurunan berat badan dijalankan di bawah penyeliaan pasukan kesihatan yang terdiri daripada pakar Perubatan, Kesihatan Awam dan Dietetik yang berkelayakan.

Pasukan berkenaan membantu setiap peserta yang menerima sokongan dietetik setiap hari selama 12 bulan dengan pemantauan digital untuk mengikuti kemajuan mereka.

Sokongan holistik memberikan pengetahuan dan motivasi kepada pesakit untuk mengubah hubungan mereka dengan makanan, menggalakkan serta mengamalkan pandangan dan gaya hidup baharu yang membolehkan peserta mengekalkan penurunan berat badan mereka.

Kitakurang adalah program menurunkan berat badan dengan bantuan Allurion, belon intragastrik yang boleh ditelan yang dapat membantu mengawal pengambilan makanan peserta untuk mengurangkan berat badan.

Belon intragastrik ini ditelan dan diisi dengan air, mengakibatkan belon mengisi ruang di dalam perut dan menyebabkan kelewatan dalam pengosongan gastrik.

Ini akan membuat peserta sentiasa merasa perutnya ‘penuh’ dan mengurangkan selera makan.  Belon itu akan secara semula jadinya keluar dari badan dalam tempoh masa empat bulan.


(Dari kiri)  Naib Canselor UKM; Datuk Dr Hanafiah Harunarashid,  Datuk Dr Nik Ritza Kosai dan Javier Ibanez pada majlis kempen Kitakurang  yang berlangsung di Petaling Jaya, baru-baru ini.
 

Sementara itu, Kevin Toh berkata, pihaknya memulakan kempen berkenaan bertujuan memastikan pengurusan berat badan dapat dipraktikkan dengan lebih berkesan oleh mereka yang mengalami obesiti.

 “Kitakurang bertujuan memastikan pengurusan berat badan yang mampan dalam kalangan pesertan dan secara kolektif, kempen ini telah kehilangan lebih 10,000 kg.

“Malah, seorang peserta pertama kami di bawah Kitakurang  berjaya mengekalkan berat badannya sehingga kini, sebahagian besarnya hasil daripada perubahan dalam tabiat dan gaya hidup,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *