Monday, April 29

IHH Healthcare Malaysia lancar kempen kemahiran asas menyelamat nyawa

Kejadian tidak diduga seperti mengalami masalah pernafasan yang memerlukan bantuan pertolongan cemas sering dipandang remeh sama ada di tempat kerja, di rumah mahupun di kawasan awam.

Jean-Francois Naa (tengah) melancarkan kempen Ready For You di ibu kota baru-baru ini.
Jean-Francois Naa (tengah) melancarkan kempen Ready For You di ibu kota baru-baru ini.

Sehubungan itu, penting bagi setiap individu mengetahui teknik atau cara memberi pertolongan cemas yang betul kepada mangsa kerana kejadian ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira lokasi atau situasi

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean-François Naa berkata, pihaknya sentiasa bersiap-siaga untuk memberi sebarang bantuan sewaktu kecemasan, namun dalam situasi tertentu ada tindakan yang perlu dilakukan secara segera.

“Sebagai penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di Malaysia, kami sentiasa bersedia untuk bertindak dalam situasi kecemasan perubatan menerusi jabatan kecemasan dan juga pakar perubatan daripada pelbagai disiplin.

“Walau bagaimanapun, ada sesetengah kecemasan perubatan yang mungkin memerlukan tindakan segera di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan perkhidmatan ambulans dan paramedic,” katanya pada majlis pelancaran kempen “Ready For You” di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Peserta pertolongan cemas yang hadir pada majlis pelancaran Ready For You.

Menerusi kempen berkenaan, IHH akan menyediakan latihan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) secara percuma kepada 1,000 kakitangan daripada pelbagai sektor perkhidmatan termasuk klinik swasta, insurans, pendidikan, perbankan, hospitaliti dan e-hailing.

IHH juga mahu memperkasakan individu yang mempunyai kemahiran praktikal untuk mereka memberikan bantaun kecemasan yang cepat dan tepat kepada sesiapa sahaja di rumah, di tempat kerja atau di jalanan.

“Bersedia dan mengetahui dengan tepat cara untuk bertindak balas adalah penting, kerana ia boleh memberi perbezaan besar  antara situasi yang tenang atau huru-hara dan antara bertahan atau tidak.

“Atas sebab itu, sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terkemuka di negara ini, IHH Healthcare Malaysia ingin menyediakan individu dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menguruskan kecemasan perubatan asas,” katanya.

Demonstrasi pertolongan cemas oleh peserta Ready For You.

Untuk melengkapkan kempen ini, orang ramai boleh memuat turun e-Buku Pertolongan Cemas yang mengandungi panduan penting mengenai pengurusan kecemasan perubatan asas yang boleh didapati di laman sesawang Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Prince Court.

Jean-Francois menunjukkan cara melakukan CPR kepada media

Kios latihan amali CPR yang pertama seumpamanya di Malaysia turut dilancarkan bagi mendidik komuniti mengenai CPR. Kios interaktif ini akan ditempatkan di premis hospital dan rakan strategik IHH yang terpilih.

#Kempen ini bertujuan untuk memperkasakan kemampuan individu agar mereka mampu memberikan pertolongan cemas yang cepat dan tepat dalam situasi kecemasan perubatan asas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *