Apabila mengambil keputusan mengunjungi kafe, pelbagai faktor diambil kira selain makanan ditawarkan enak dan sedap, senario atau susun atur dalam kafe juga turut diberi perhatian.
Adalah satu bonus sekiranya kafe dikunjungi mempunyai susun atur yang kemas, ruang luas yang memberi lebih kebebasan untuk bergerak mahupun beraktiviti sesama sendiri.
Kafe Atameme mungkin tidak begitu dikenali ramai kerana agak jauh dari ibu kota, namun lokasinya tidak menghalang penulis mengunjungi kafe berkenaan lantaran tertarik dengan susun atur dan suasana damai di kafe berkenaan.
Damai yang dimaksudkan itu adalah latar hijau yang menjadi warna asas kafe serta meja kayu yang tersusun rapi di bahagian ruang kafe selain untaian tumbuh-tumbuhan hijau di dalamnya.
Pemilik kafe, Norhawanis Mustafa, berkata beliau sengaja menghias Atameme dengan tumbuh-tumbuhan hijau bagi memastikan suasana segar mengitari ruang kafe berkenaan.
“Kami sengaja menghiasnya dengan tumbuh-tumbuhan hijau dan terrarium kecil yang juga dijual kepada pengunjung.
“Jika ada yang datang untuk menjamu selera di sini, mereka bukan setakat menikmati makanan, bahkan dapat menjamu mata dengan elemen hijau yang menyegarkan,” katanya ketika ditemui di kafe berkenaan.
Bagi penulis Atameme adalah kafe mesra rasa kerana selain menu ditawarkan enak dan menyelerakan, ruang yang luas turut menyediakan pengudaraan yang nyaman dan selesa.
“Menu utama kami adalah roti sourdough yang kami hasilkan sendiri di dapur Atameme serta beberapa jenis kek bagi memenuhi permintaan penggemar manisan.
“Untuk tempoh jangka masa panjang, kami akan menawarkan lebih banyak menu. Buat masa kini, kami memilih untuk memberi tumpuan kepada kemasan dan pengisian Atameme supaya lebih ramai pengunjung datang menikmati kopi dan menu kami,” katanya.
Sehubungan itu, jika ada yang mencari kafe dengan persekitaran aman dan damai, Atameme yang terletak di Mecato2, Bandar Enstek ini ada apa yang dicari.