Kedatangan Ramadhan sentiasa dinanti oleh setiap muslim kerana Ramadhan adalah bulan beribadat, masa untuk meraih pahala selain memohon keampunan menerusi sedekah yang dilakukan pada bulan ini.
Ramadhan juga lazim diimarahkan dengan solat terawikh selain ada juga yang mengambil peluang pulang ke pangkuan ibu bapa lebih awal untuk bersama-sama menjalani ibadah puasa di kampung.
Bagaimanapun, ada juga yang menunggu kemunculan Ramadhan kerana beranggapan ketika inilah mereka berpeluang mencari kuih-muih klasik atau tradisional untuk juadah berbuka bersama keluarga dan rakan.
Terkini, tular mengenai kurma yang diselitkan keju dan timbul perbahasan mengenai keaslian kurma dan manfaat keju terhadap idividu yang memakannya, sama ada membawa kesan baik atau buruk, tepuk dada tanya selera.
Umum mengetahui kurma adalah antara buah wajib ada di atas meja ketika berbuka bahkan sunat memakan kurma terlebuh dahulu sebelum menjamah makanan lain ketika berbuka.
Dietitian Kanan, Hospital Pantai Sungai Petani, Norhayati Samsuddin berkata, kurma adalah sumber karbohidrat yang mempunyai banyak kelebihan bagi individu yang memakannya.
“Kurma mempunyai karbohidrat ringkas (fruktosa) untuk memberi tenaga segera untuk tubuh badan dan polifenol (anti-oksidan) yang membantu melindungi tubuh badan dari inflamasi.
“Selain itu, serat kurma juga membantu seseorang untuk rasa kenyang lebih lama serta tinggi kandungan potassium, membantu membina otot dan protein dalam tubuh badan,” katanya kepada Zonasuri, baru-baru ini.
Norhayati menambah, keju berasal daripada sumber haiwan yang mengandungi lemak tepu, kolesterol, protein, kalsium dan garam.
“Rasa keju yang sedap digabungkan dengan kurma yang manis akan menyebabkan rasa ketagih dan mendorong seseorang untuk mengambil secara tidak terkawal.
“Pengambilan keju secara berlebihan setiap hari mampu meningkatkan aras kolesterol dalam darah dan juga berat badan secara berlebihan seterusnya meningkat risiko penyakit jantung dan kencing manis,” katanya.
Beliau berkata, protein dinamakan whey yang terkandung dalam keju adalah sangat bagus untuk membina tulang dan otot yang kuat.
Menurut beberapa kajian keju secara umumnya berfungsi untuk melindungi gigi daripada kaviti dan keju juga boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, iatu Mozarella, Parmesan dan Cheddar.
- Mozzarella: kurang kandungan sodium, kalori dan mengandungi probiotik termasuk strain lactobacillus casei dan lactobacillus fermentum bagi membantu meningkatkan kesihatan usus, imuniti dan mengurangkan keradangan.
- Parmesan: mengandungi rendah kandungan laktosa dan tinggi kalsium serta fosforus yang boleh menggalakkan kesihatan tulang
- Keju Cheddar: tinggi kandungan vitamin b12 dan mengandungi sumber protein dan vitamin A bagi membantu meningkatkan metabolisme dan menyokong Kesihatan tulang dan gigi
Katanya, cukuplah sekadar mengambil dua biji kurma sahaja sebagai juadah pertama semasa berbuka puasa.
Hidangan seimbang dan sederhana adalah lebih baik sebagai hidangan utama semasa bersahur dan berbuka puasa bagi memastikan individu tersebut mendapat jumlah nutrien yang mencukupi.