Cornflake sering mengingatkan kita pada biskut cornflake atau sarapan pagi cornflake yang dinikmati bersama susu dengan sedikit taburan buah kegemaran, kismis mahupun madu.
Bagaimanapun, jenama yang tidak asing lagi dengan deretan kek enak, Secret Recipe, mencipta kelainan apabila memasukkan cornflake dalam hidangan ayam yang mana rasanya amat istimewa, unik dan lain daripada kebiasaan.
Ketua Pemasaran Secret Recipe (SR), Evelyn Lee berkata, SR mengambil langkah memperkenalkan hidangan yang diadun dengan cornflake berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan terhadap menu yang ditawarkan sebelum ini.
“Berikutan sambutan baik terhadap hidangan Golden Egg Krup Krap yang diperkenalkan tahun lalu, kali ini kami tawarkan menu dengan sedikit perubahan iaitu kombinasi cornflake dengan resipi klasik kami yang dijangka disukai ramai.
“Hidangan yang diperkenalkan ini pasti menawarkan pengalaman yang ‘mencabar’ dalam setiap kunyahan,” katanya kepada media pada majlis memperkenalkan menu baru itu di Bandar Utama, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan SR, Patrick Sim.
Dua hidangan yang dilancarkan, Cornflakes Pasta with Chicken (RM23.90) dan Crunchy Cornflakes Chicken Chop (RM27.90) diadun dengan elemen cornflake yang membangkitkan rasa unik apabila dikunyah.
Evelyn berkata, kedua-dua hidangan juga ada kombinasi cornflake dan elemen rasa lain yang akan membuatkan pelanggan terpesona kala menikmatinya.
“Crunchy Cornflakes Pasta with Chicken disirami sos krim lemak cili api dan digandingkan dengan Chicken katsu serta taburan cornflake yang rangup di atasnya.
“Crunchy Cornflakes Chicken Chop pula dihasilkan untuk meningkatkan hidangan klasik berkenaan dengan kerangupan isi ayam disaluti kepingan cornflake, kentang, salad serta sos kari buttermilk yang menghasilkan keenakan tersendiri terhadap menu berkenaan,” katanya.
Seiring dengan menu baru itu juga, pelanggan berpeluang menikmati minumanSecret Recipe’s Honey Passionfruit Tea pada harga RM6.80 sekiranya dibeli dengan hidangan baharu itu.
Jika anda merancang untuk mencuba menu baharu ini, ianya boleh dinikmati di semua cawangan SR di seluruh negara.