Menikmati piza bersama rakan atau keluarga adalah perkara biasa, namun jika anda singgah di warung piza Seni Bidadara di Kampung Lubok Kawah, Jerteh, Kuala Terengganu, pastinya pengalaman makan piza anda menjadi luar biasa kerana piza dimaksudkan ini dibakar menggunakan dapur arang.
Lebih mengujakan warung comel ini berlokasi bersebelahan bendang padi dan ada anak air mengalir di tepinya, justeru acara makan piza anda pastinya tidak akan terlupakan.
Penulis berpeluang singgah di warung ini bersama-sama beberapa rakan dan ternyata cadangan rakan penulis supaya cuba piza yang disediakan secara manual ini tidak sia-sia kerana keenakan yang sukar dilupakan.
Pengasas Piza Seni Bidadara, Che Ku Arsad Che Ku Rani, 51, berkata beliau memilih nama Seni Bidadara kerana ingin mengabadikan kerja seni yang pernah dilakukan sebelum beralih ke bidang perniagaan khususnya menjual piza.
“Sebelum ini, saya menjual hasil seni iaitu lukisan, namun lama-kelamaan tidak ramai yang membelinya jadi saya beralih ke bidang lain dan mendapat ilham untuk menjual piza.
“Semuanya saya lakukan dengan bantuan ahli keluarga, daripada membeli bahan hinggalah membakarnya di dalam dapur arang yang dibuat khusus untuk membakar piza” katanya ketika ditemui di warung piza milik beliau.
Piza Seni Bidadara ditawarkan dalam tiga saiz dengan enam pilihan rasa iaitu Pepperoni Beef, Peperoni Chicken, Tuna, Daging Salai, Ayam Special dan Seafood.
Katanya lagi, beliau menggunakan kayu rambutan untuk membakar piza kerana penggunaan kayu berkenaan akan menambahkan lagi aroma kesedapan piza.
Sementara itu, R Reefa R Musa yang ditemui di warung berkenaan berkata, beliau sudah lama berhasrat untuk mecuba piza Seni Bidadara kerana ada rakan mencadangkan beliau mencuba sekiranya berpeluang.
“Saya datang jauh dari Lukut kerana ada urusan di Kuala Terengganu, kebetulan sudah berada di sini, saya mengambil peluang mengunjungi warung Seni Bidadara dan ternyata piza yang dihasilkan sangat sedap, kena dengan selera kami.
“Kami memesan tiga jenis piza saiz besar dan ketiga-tiganya enak, tidak rugi datang sejauh ini untuk mencuba piza yang sangat sedap ini,” katanya yang datang bersama anak dan rakan untuk menikmati piza Seni Bidadara.