Thursday, November 21

Derma darah, selamatkan insan yang memerlukan

Derma darah satu amalan mulia kerana setitik darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa individu yang memerlukannya, namun tidak semua kita berkeupayaan menderma darah kerana keadaan kesihatan atau masalah lain.

Dapatkan nasihat doktor terlenih dahulu sebelum menderma darah. (Gambar hiasan).

Ketua Pegawai Perubatan, Jabatan Kemalangan dan Kecemasan Hospital Pantai Laguna Merbok, Dr Ahmad Wildan Azhar, berkata setiap penderma yang menderma darah akan kehilangan sejumlah kecil darah dalam badan, namun proses penggantian cecar dalam badan akan menggantikan semula darah yang hilang itu.

Ketua Pegawai Perubatan, Jabatan Kemalangan dan Kecemasan Hospital Pantai Laguna Merbok, Dr Ahmad Wildan Azhar.

“Bagi wanita, jumlah yang dibenarkan adalah 350 mililiter (ml) manakala lelaki, 450 ml sel darah merah dan dalam tempoh 24 jam, badan akan menggantikan semula sel darah merah tersebut.

“Ketika badan dalam proses menggantikan cecair yang hilang, pada masa sama badan akan mengimbangi dengan memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk meningkatkan pengeluaran sel stem yang akhirnya akan menjadi sel darah merah,” katanya.

Apabila anda menderma darah, pastikan keadaan kesihatan anda baik dan hidrasi. (Gambar hiasan).

Katanya lagi, proses ini memerlukan masa yang agak lama (sehingga berminggu-minggu), oleh sebab itulah penderma perlu menjarakkan tempoh menderma.

Berkenaan salah tanggap menderma darah boleh menyebabkan penderma mendapat serangan atau penyakit jantung, Dr Ahmad Wildan menjelaskan tidak ada bukti kukuh mengenainya.

“Tidak ada bukti konkrit berhubung menderma darah secara berkala dengan risiko penyakit jantung yang lebih rendah, bagaimanapun, terdapat beberapa cadangan bahawa menderma darah mampu membantu kitaran tahap zat besi di dalam badan selain membantu aliran darah, yang mana ia akan membantu mengurangkan kerosakan pada saluran darah.

“Bagi penderma darah, seseorang itu perlu sihat dan cergas, jadi secara tidak langsung, sudah tentu penderma itu akan mengamalkan kehidupan yang sihat agar membolehkan mereka terus menderma secara berkala,” katanya.

Kesan sampingan terhadap penderma darah

Dengan menderma darah, anda akan kehilangan sebahagian kecil daripada jumlah darah. Biasanya badan akan mengimbangi dengan menstabilkan tekanan darah dan degupan jantung tetapi kadang-kadang mungkin merasa sedikit pening pada permulaannya. Oleh sebab itulah penderma yang berpotensi dinasihatkan untuk berada dalam keadaan terhidrasi sebelum menderma darah.

Makanan yang perlu diambil sebelum menderma darah?

Makanan yang disarankan adalah yang kaya zat besi seperti daging merah, makanan laut, kekacang dan sayur-sayuran berdaun hijau gelap contohnya bayam serta untuk mengekalkan hidrasi, penderma perlu minum banyak air mineral.

Bolehkah perokok menjadi penderma darah?

Perokok yang mahu menderma darah disarankan untuk tidak merokok sekurang-kurangnya 24 jam sebelum menderma darah kerana jika  merokok sebelum menderma darah, dapat meningkatkan tekanan darah dan apabila tekanan darah tinggi, situasi ini adalah kontraindikasi terhadap pendermaan darah.

Kekerapan untuk seseorang menderma darah?

Boleh dilakukan setiap tiga bulan sekali namun jika terdapat kekurangan bekalan darah yang kritikal, penderma boleh menderma dalam tempoh dua bulan selepas tarikh pendermaan yang lepas.

Siapa yang tidak digalakkan atau tidak boleh menderma darah?

Dr Ahmad Wildan berkata, individu yang tidak boleh menderma darah adalah mereka yang disahkan positif HIV, sifilis dan penyakit seumpamanya selain mereka yang mengamalkan kehidupan tinggi risiko seperti homoseksual, penagih dadah atau pekerja seks juga tidak boleh menderma darah.

“Mereka yang baru (kurang dari enam bulan) bertindik atau mencacah tatu, kurang sihat seperti demam, selsema atau sebagainya ketika ingin menderma juga tidak digalakkan.

“Oleh itu, sebelum menderma, kami akan memeriksa kesihatan penderma terlebih dahulu dan mereka yang mengidap penyakit kronik seperti diabetes atau tekanan darah tinggi, pengidap anemia atau polycythaemia, tidak digalakkan,” katanya.

Apa yang perlu seseorang itu lakukan selepas menderma darah?

  • Penderma perlu memastikan berada dalam terhidrasi selain perlu mengamalkan pemakanan yang betul.
  • Elakkan melakukan kerja berat sekurang-kurangnya lima jam pertama selepas menderma. Sekiranya mengalami pening yang teruk secara berterusan, berdebar-debar, sukar bernafas atau kelesuan yang teruk, penderma perlu ke klinik atau hospital dengan segera.
  • Jika penderma mendapati terdapat lebam, sakit atau bengkak yang teruk di bahagian darah diambil, mereka juga perlu mendapat rawatan segera.

Apakah yang perlu orang ramai tahu sebelum menderma darah?

Menderma darah adalah prosedur untuk menyelamatkan nyawa yang mana ia akan membantu orang lain yang memerlukan darah seperti kehilangan darah akut dalam kes trauma, kehilangan darah kronik pada pesakit barah dan mereka yang memerlukannya sebelum prosedur pembedahan.

Pusat menderma darah bukan tempat untuk pemeriksaan ‘biohazard’, oleh itu jika anda mempunyai kecurigaan tinggi untuk dijangkiti penyakit seperti HIV atau Hepatitis, anda disarankan untuk membuat pemeriksaan di pusat kesihatan terdekat sebelum menderma darah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *