Monday, April 29

Hospital Pantai Sungai Petani raikan anak yatim, warga emas

Deepavali sering mengingatkan kita terhadap kuih kesukaan ramai, muruku dan hiasan berwarna-warni daripada beras dinamakan ‘kolam,’ namun perayaan ini juga adalah hari untuk berkongsi kegembiraan antara sesama bangsa.

Hiasan kolam memeriahkan sambutan Deepeavali bagi mereka yang meraikannya.

Hospital Pantai Sungai Petani, baru-baru ini meraikan 65 anak yatim dan warga emas dari Rumah Kebajikan Anak Yatim Arutjyothi Vallalar Mandram dan Persatuan Kebajikan Gurunatha Aasramam.

Ketua Pegawai Eksekutif HPSP, Tio Bee Chan berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk membantu mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini.

“Kami sentiasa komited menganjurkan program berbentuk kebajikan bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang kurang bernasib baik sempena perayaan-perayaan utama.

“Dengan bantuan yang diberikan ini diharapkan dapat memberikan sinar kegembiraan kepada penerima dan seterusnya menjadikan sambutan Pesta Cahaya mereka tahun ini lebih bermakna,” katanya kepada Zona Suri.

Kakitangan HPSP bersama anak-anak yatim bergambar bersama pada majlis penyerahan sumbangan.

Turut hadir bersama-sama meraikan anak-anak yatim pada majlis sumbangan berkenaan  adalah doktor-doktor pakar perubatan, jururawat serta kakitangan HPSP.

Program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) HPSP bagi menghidupkan semangat kebersamaan dalam komuniti dan menzahirkan keprihatinan terhadap kumpulan sasaran yang memerlukan bantuan.

Kakitangan HPSP meraikan anak-anak yatim.

Katanya lagi, apabila satu bentuk usaha berupa sumbangan diberikan, ada pihak yang akan gembira dan pastinya dapat meraikan hidup dengan lebih bermakna pada musim perayaan ini.

“Penyerahan sumbangan (barangan keperluan) ini diharapkan dapat memberi sinar harapan kepada mereka dan girang dalam menyambut perayaan Deepavali.

“Deepavali Vaalthukkal daripada saya dan seluruh warga kerja Hospital Pantai Sungai Petani” katanya.

Kemeriahan jelas terpancar pada wajah anak-anak yatim yang diraikan.

Program turut dimeriahkan dengan aktiviti membuat kolam bersama anak-anak yatim dan doktor-doktor, kemudian diakhiri dengan acara penyampaian sumbangan saguhati dan barangan keperluan daripada pihak hospital.

Pada masa sama, wakil penerima sumbangan turut menzahirkan rasa gembira kerana sumbangan diberikan warga HPSP dapat membantu meringankan beban mereka untuk meraikan sambutan pesta cahaya, Deepavali dan membuat persiapan bagi menghadapi musim baru persekolahan pada tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *