Monday, April 29

Pendarahan paru-paru, ketahui sebab dan pencegahannya.

Pastinya ramai yang masih ingat mengenai pelakon tanah air  yang dimasukkan ke hospital dan ditidurkan akibat pendarahan paru-paru atau pulmonary hemorrhage (pendarahan pulmonari) tidak berapa lama dulu.

Merujuk kepada National Library of Medicine, Amerika Syarikat (AS) yang memetik satu kajian di Perancis mengatakan, rata-rata penghidap pendarahan pulmonari ialah mereka yang berusia 54 tahun dan 71 peratus pesakit ialah lelaki dan rata-ratanya merokok.

Pendarahan paru-paru boleh membawa maut sekiranya tidak dicegah dari awal. (Gambar hiasan)

Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, wanita juga tidak terkecuali menghadapi ancaman pendarahan pulmonary.

Pakar Perubatan Dalaman dan Respiratori, Hospital Pantai Pulau Pinang dan Hospital Pulau Pinang, Dr Umadevi A Muthukumaru berkata, isu itu akan tercetus apabila berlaku pendarahan dalam bahagian paru-paru itu sendiri umpamanya daripada vena, arteri dan kapilari menyebabkan pesakit akan menghidap gejala batuk berdarah.

“Apabila berlaku pendarahan banyak (di dalam paru-paru), pesakit akan mengalami sesak nafas dan kekurangan oksigen.

“Antara sebab utama kes pendarahan paru-paru di negara ini adalah akibat penyakit tuberculosis (TB) yang berpunca daripada jangkitan kuman Mycobacterium tuberculosis yang mengakibatkan pesakit mengalami gejala batuk berdarah,” katanya.

Pakar Perubatan Dalaman dan Respiratori, Pantai Hospital Pulau Pinang dan Hospital Pulau Pinang, Dr Umadevi A Muthukumaru

Selain daripada TB, pendarahan paru paru mungkin berpunca daripada penyakit vaskulitis seperti Systemic Lupus Erythematosus (sejenis penyakit autoimun), Bronchiectasis, kanser, trauma dan jangkitan kuman .

Virus Covid-19 mempengaruhi?

Dr Umadevi berkata, pendarahan yang disebabkan oleh keradangan dan kerosakan kepada saluran darah di dalam paru-paru secara tidak langsung menyebabkan darah mengalir ke dalam alveoli (tempat pertukaran oksigen dan karbon dioksida).

“Aliran (darah) boleh berlaku secara tiba-tiba dan cepat serta membahayakan pesakit. Batuk berdarah adalah salah satu simptom yang berbahaya dan perlu diwaspadai.

“Jangkitan Covid-19 tidak kerap menyebabkan penyakit paru-paru berdarah. Walaubagaimanapun terdapat kes-kes yang dilaporkan di mana pendarahan paru-paru berlaku dan boleh menyebabkan keadaan pesakit menjadi kritikal,” katanya.

Jaga kesihatan diri bagi mengelakkan diri dijangkiti paru-paru.berdarah (Gambar hiasan)

Tambahnya lagi, jika  pesakit telah sembuh dengan sepenuhnya daripada Covid-19, tiada impak negatif yang dialami untuk kebanyakan pesakit.

Mengenai kelangsungan hayat dan potensi untuk sihat seperti sedia kala, pakar berkenaan menjelaskan, pesakit boleh sembuh selagi punca penyakit dirawat dengan rawatan yang berkesan.

“Sebagai contoh, radang paru-paru memerlukan antibiotik, sementara penyakit TB memerlukan ubat TB. Bagi penyakit autoimun dan vaskulitik (beberapa kondisi yang menyebabkan peradangan pada pembuluh darah) memerlukan rawatan immunosupression drugs.

Punca- punca

Asthma and Lung UK, National Library of Medicine (NIH), AS dipetik sebagai berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada krisis kesihatan tersebut.

Ujar NIH, sebenarnya terdapat banyak kemungkinan. Bagi kanak-kanak, jangkitan adalah faktor biasa.

“Pun demikian, doktor tidak selalu dapat mengenal pasti puncanya. Situasi ini dikenali sebagai pendarahan pulmonari idiopatik,” kata mereka.

Jelas NIH, pendarahan mungkin datang dari satu kawasan sahaja localized hemorrhage atau pelbagai banyak tempat diffuse hemorrhage. Punca-punca pendarahan setempat adalah seperti berikut:

i) Berlaku jangkitan seperti pada radang paru-paru, batuk kering, cystic fibrosis (penyakit keturunan yang menyebabkan paru-paru dan sistem pencernaan tersumbat oleh lendir yang melekit) atau lain-lain bentuk bronchiectasis.

ii) Kecacatan paru-paru kongenital.

iii) Trauma fizikal – contoh, kecederaan dalam kemalangan kereta.

iv) Kelemahan pada saluran darah.

v) Tumor paru-paru.

Menurut NIH, pendarahan serius akan menyebabkan penderita mengalami batuk berdarah.

Sekiranya pemeriksaan doktor mendapati pesakit tiada masalah keradangan paru-paru, ia mungkin disebabkan oleh beberapa sebab. Antaranya:

i) Keadaan paru-paru yang jarang berlaku yang dipanggil haemosiderosis pulmonari idiopatik.

ii) Komplikasi selepas pemindahan sumsum tulang.

iii) Hipertensi pulmonari.

Menurut NIH lagi, jika kanak-kanak mengalami pendarahan paru-paru, mungkin kita akan melihat darah pada hidung atau muka mereka. Dalam sesetengah kes, si kecil juga barangkali mengalami kesukaran untuk bernafas. “Bagaimanapun, penyakit ini tidak berapa jelas kerana ramai pesakit tidak mengalami batuk darah,” katanya.

Jika masalah  berpanjangan (bermula secara beransur-ansur dan berterusan untuk tempoh masa lama) golongan itu akan mengalami batuk, demam, berat badan menyusut, letih dan mereka akan kesesakan nafas apabila bersenam.

Jika kanak-kanak itu mengidapi anemia, wajah mereka juga akan menjadi pucat.

Walaupun demikian, dalam kebanyakan kes, pendarahan tersebut berpunca daripada masalah kecil yang masih boleh dirawat dan berdasarkan pengamatan, pendarahan akan berhenti setelah penyakit yang menjadi puncanya sembuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *