Friday, December 27

Sophella’s Bakery bukti usia muda bukan halangan

Minat kadangkala boleh memacu individu menceburi bidang di luar dugaan kerana yakin dengan apa yang dilakukan selain berani menghadapi cabaran dalam dunia yang sentiasa mencabar ini.

Umaira Sofiya, 23, memulakan Sophella’s Bakery dari rumah dan kini memiliki ruang sendiri untuk meneruskan minat dalam bidang pastri.

Umaira Sofiya Asfanizam, 23, antara individu yang cekal kerana walaupun berkelulusan bidang perakaunan (ACCA), beliau tekad menerjuni dunia ‘pastri’ lantaran minat mendalam terhadap disiplin berkenaan,

Bermula dengan cinnamon roll yang dibakar di rumah dan dijual kepada rakan sekuliah, Sofiya akhirnya semakin banyak mendapat tempahan daripada mereka yang mengetahui beliau menjual pastri.

Sofiya bersama soft cookies yang mendapat sambutan ramai dalam kalangan penggemarnya.

“Saya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu yang bertitik tolak daripada rasa bosan kerana tidak dapat keluar berjumpa rakan mahupun hadir ke kuliah disebabkan semuanya dilakukan secara dalam talian.

“Daripada buat pastri untuk elak kebosanan di samping mengisi masa di rumah, minat berkenaan menjadi lebih serius sehinggalah saya makin seronok melakukannya walaupun tidaklah menjual secara bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui di Sophella’s Bakery di Sungai Merab, baru-baru ini.

Sofiya berurusan dengan pelanggan di Sophella’s Bakery.

Bersaiz kecil molek, Sofiya sebaliknya memiliki semangat besar dan kesungguhan yang tidak boleh dipertikaikan kerana hampir 80 peratus urusan menyediakan bahan dan membakar pastri dilakukan sendiri.

Peach Strudel juga ada di Sophella’s Bakery.
Kek lobak merah dihasilkan Sofiya.

“Saya ada dua pekerja sambilan, namun kebanyakan persiapan saya lakukan seorang diri kerana mereka tidak menetap dengan saya.

“Membeli bahan, mengadun dan membakar, saya lakukan bersendirian di dapur Sophella dan keadaan ini melatih saya menjadi lebih berdisiplin untuk mengatur masa supaya lebih terurus,” katanya.

Antara produk pastri lain dihasilkan Sofiya selain cinnamon roll ialah soft cookies, burnt cheese cake, focaccia, sourdough, peach strudel dan kek lobak merah.

Sofiya memilih bidang pastri sebagai kerjaya walaupun mendapat pendidikan dalam bidang perakaunan.

Premis dimilikinya juga hanya menyediakan produk pastri untuk jualan dan tidak ada kemudahan untuk menikmatinya di situ, namun pengunjung boleh memesan makanan di kafe bersebelahan iaitu Souqapasta.

Sofiya berkata, beliau hanya bermodalkan RM2000 sebagai permulaan dan terpaksa menguruskan kewangan dengan bijak supaya perniagaan yang baru dimulakan dapat bertahan dan terus dikenali ramai.

“Saya sangat bersyukur kerana belajar bidang perakaunan di Sunway College selain tunjuk ajar ibu bapa yang memahami minat saya membuat pastri dan berniaga.

“Dalam masa terdekat, saya merancang untuk membuat pelancaran produk Sophella’s Bakery supaya lebih dikenali ramai selain menyusun atur strategi perniagaan supaya lebih baik,” katanya mengakhiri perbualan dengan Zonasuri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *