Thursday, December 12

Tangani buasir dengan berkesan, jumpa pakar

Buasir sering dianggap tidak merbahaya dan tidak diberi perhatian sewajarnya apabila berlaku dalam kehidupan seharian walaupun keadaan itu perlu ditangani dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak kesakitan berlaku.

Pakar Bedah Am Hospital Pantai Laguna Merbok, Dr Husna Syakirah Ab Rahman, berkata terdpat dua jenis buasir yang lazim dialami iaitu buasir dalam dan buasir luar.

Gambaran mengenai buasir dalam dan buasir luar.

“Buasir adalah salur darah di dalam anus yang membengkak disebabkan oleh peningkatan tekanan di dalam salur darah di kawasan anus.

”Buasir dalam pula adalah bengkak salur darah yang berada atas pada garisan Dentate (Dentate line), manakala buasir luar adalah bengkak salur darah di bawah garisan dentate.

Dr Husna berkata, buasir boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau wanita, bagaimanapun buasir sering terjadi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

“Kebiasaannya situasi ini terjadi dalam lingkungan umur 25 hingga 30 tahun ke atas dan kerap berlaku dalam kalangan wanita hamil disebabkan oleh tekanan yang tinggi di dalam perut semasa mengandung.

“Buasir semasa mengandung sering bermula di peringkat akhir kandungan sehingga akhir waktu berpantang,” katanya.

Dr Husna Syakirah Ab Rahman.

Dr Husna turut menambah, masalah buasir dalam kalangan wanita di Malaysia mungkin kerap berlak akibat amalan berpantang yang mana ada amalan berpantang menyarankan ibu-ibu untuk mengurangkan minum air dan mengelakkan memakan buah atau sayur-sayuran tertentu.

Katanya, ibu-ibu dinasihatkan untuk berhati-hati ketika berpantang dan mendapatkan nasihat serta rawatan doktor sekiranya mengalami sembelit atau simptom buasir semasa tempoh berpantang.

Simptom buasir luar dan dalam adalah lebih kurang sama di mana kebiasaannya pesakit akan mengalami pendarahan semasa pembuangan najis, di mana najis keras, darah yang keluar biasanya darah segar yang tidak bercampur dengan najis.

“Sesetengah pesakit akan merasakan ketulan pada anus menyebabkan pesakit akan merasa tidak selesa pada anus dan akan berasa gatal.

“Buasir dalam tidak sakit, sehinggalah ia terkeluar daripada anus dan menyebabkan bengkak di luar anus (thrombosed hemorrhoid) manakala buasir luar akan sakit ketika bengkak.

Gambaran tahap buasir yang lazim dialami individu.

Sehubungan itu, pesakit mesti berjumpa doktor jika pendarahan berlarutan, banyak dan tidak berhenti.

Jika berlaku bengkak yang terkeluar dan sakit juga, segeralah berjumpa dengan pakar supaya intervensi boleh dijalankan bagi mengelakkan sakit dan bengkak tidak berlarutan.

Selain itu, jika pesakit mempunyai tanda-tanda anemia (kekurangan darah merah), hendaklah segera berjumpa dengan pakar.

Dr Husna berkata, buasir berlaku adalah berpunca daripada tekanan yang tinggi di dalam dubur yang menyebabkan salur darah di anus membengkak dan salur anus yang sempit membuatkan lebih tinggi tekanan yang diperlukan untuk meneran.

Buasir dalaman dan buasir luaran.

“Bukaan lapisan permukaan dalam usus terluka dan menyebabkan salur darah yang bengkak, pecah dan menyebabkan pendarahan.

“Selain itu, akibat tekanan yang tinggi juga, lapisan permukaan dalam anus akan turut mengunjur keluar dan menyebabkan buasir terkeluar dari anus,” katanya.

Apakah yang meningkatkan risiko buasir?

Antara faktor penyebab buasir:

  • Umur
  • Kehamilan.
  • Amalan diet yang kurang air dan fiber.
  • Mempunyai hubungan dubur.
  • Obesiti.
  • Cirit-birit kronik atau sembelit.
  • Mengangkat berat berat.
  • Kehamilan.
  • Individu yang menjalani gaya hidup yang tidak aktif.
  • Individu yang mempunyai tabiat buang air yang buruk seperti membaca di bilik mandi atau menghabiskan masa yang lama di tandas

Bagaimana pesakit buasir didiagnosis?

Dr Husna berkata, buasir didiagnos secara klinikal di mana pesakit akan memberi tahu sejarah kepada doktor mengenai symptom yang ada pada mereka dan doktor hendaklah melakukan pemeriksaan seperti ‘ digital rectal examination’ (pemeriksaan menggunakan jari).

“Doktor juga hendaklah menjalankan pemeriksaan menggunakan proktoskop (proctoscope) supaya dapat melihat dengan jelas buasir dalam.

“Sigmoidoskop dan kolonoskopi mungkin perlu dijalankan bergantung kepada umur dan jika ingin memastikan tiada penyakit lain selain buasir, contohnya kanser rectum yang juga boleh menyebabkan pendarahan.

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh dilakukan untuk menangani buasir?

Pesakit buasir hendaklah menjalankan gaya hidup yang sihat. Permakanan serat yang tinggi di samping minum air yang banyak seharian. Ini semua adalah untuk membuatkan najis menjadi lembut dan memudahkan pesakit untuk meneran.

Lebihkan pengambilan serat dalam pemakanan anda dengan memakan buah-buahan, sayur-sayuran hijau dan bijirin. Jika ingin memakan roti atau bijirin, pilihlah yang mengandungi bijiran penuh (wholemeal). Jika najis masih lagi keras, pesakit boleh berjumpa pakar untuk mendapatkan ubat pelembut najis.

Pengambilan tablet seperti daflon – membantu untuk mengecutkan salur darah di bahagian dubur dan melancarkan peredaran darah. Walaubagaimanapun, kesan ubat ini sesuai untuk pesakit buasir  gred 1 dan 2.

Jika berlaku bengkak yang menyakitkan, pesakit dinasihatkan untuk masukkan semula buasir ke dalam atas bantuan pakar dan pesakit boleh dinasihatkan untuk

melakukan rendaman punggung ke dalam air garam bertujuan membantu mengecutkan salur darah secara local di kawasan anus. Terdapat juga krim sapuan yang mengandungi ubat tahan sakit yang dapat membantu mengurangkan kesakitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *