Pemeriksaan awal mampu selamatkan diri daripada kanser payudara

Kanser payudara merangkumi 19 peratus daripada keseluruhan kanser  yang paling kerap dihidapi wanita di Malaysia dan ia juga adalah musuh paling digeruni wanita di seluruh dunia.

Sehubungan itu, bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara baru-baru ini, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) mengadakan Kempen Perpaduan Merah Jambu 6600 di Stesen Sentral KL.

Acara anjuran NCSM dengan kerjasama Duopharma Biotec itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan NCSM, Prof Dr M Murallitharan. Turut hadir, Menteri Sumber Manusia; V Sivakumar, Ahli Parlimen Batu; P Prabakaran, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia; Dr Azizan Abdul Aziz, Ketua Eksekutif Komersial Duopharma Biotech Bhd; Wan Amir Jeffrey  dan Ketua Eksekutif HRD Corp; Datuk Wira Shahul Dawood.

V Sivakumar dalam ucapannya berkata, kanser adalah antara ancaman paling kerap dihadapi dan boleh menjejaskan perjalanan hidup penghidapnya.

“Kanser adalah salah satu daripada  isu kesihatan yang mempunyai antara potensi tertinggi untuk menjadikan seseorang individu hilang pekerjaan, lebih-lebih lagi jika dikesan pada peringkat akhir.

“Bagaimanapun, dengan kempen ini wanita di seluruh negara diberi pilihan proaktif yang mereka perlukan untuk bukan sahaja melindungi kesihatan mereka tetapi meneruskan kerjaya mereka dengan mengesan dan merawat potensi kanser lebih awal,” katanya.

Pelbagai kegiatan disediakan penganjur pada acara yang berlangsung selama dua hari itu dengan mensasarkan 6600 wanita untuk tampil membuat pemeriksaan payudara secara percuma.

Acara yang didedikasikan untuk mengubah landskap pencegahan kanser payudara dan pengesanan awal itu mensasarkan 6600 wanita tampil untuk membuat pemeriksaan awal dan angka 6600 juga dipilih bertepatan 66 tahun kemerdekaan negara.

Melalui Kempen Pink Unity 6600, individu diberi kuasa untuk menjaga kesihatan mereka dan membuat keputusan terbaik demi kesejahteraan mereka dengan menjalankan kaedah saringan termasuk Pemeriksaan Payudara Klinikal (CBE), Mamogram, Ultrasound Payudara dan I-Payudara, dijalankan di pelbagai lokasi di Malaysia.

Dr Santhoshini menunjukkan alat pengesan payudara yang paling terkini untuk mengesan kanser payudara dengan cepat.

Pelbagai acara berkaitan pencegahan kanser disediakan untuk pengunjung di Stesen Sentral KL seperti pemeriksaan kesihatan secara percuma yang berlangsung selama dua hari berturut-tuurt, forum mengenai kenser payudara yang membabitkan bekas penghidap dan pelbagai lagi.

Perhatikan tanda-tanda ini:

  • Perubahan warna dan permukaan kulit.
  • Perubahan bentuk atau saiz payudara.
  • Lelehan tidak normal keluar daripada puting payudara.
  • Adanya ketumbuhan atau ketuat.
  • Puting terbalik, mendatar.
  • Benjolan di payudara atau ketiak.

Jika individu memiliki tanda-tanda seperti di atas, usah bertangguh untuk berjumpa doktor di klinik kesihatan berdekatan kerana jika kanser dikesan pada tahap awal, individu masih mempunyai peluang tinggi untuk kembali sihat dan bebas kanser.

Berdasarkan perangkaan dikeluarkan NCSM, 34.1 per 100,000 atau 47.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kanser payudara yang dikesan atau didiagnosis adalah pada tahap lewat (Tahap 3 dan 4) dan tahap ini meletakkan individu pada keadaan yang dianggap kritikal.

Oleh itu, sayangi diri ambil peduli akan setiap perubahan yang berlaku pada badan terutama pada bahagian ketiak dan payudara bagi memastikan anda bebas daripada sebarang ancaman kanser.

Tip pencegahan kanser payudara

  • Amalkan cara hidup sihat.
  • Jangan malu atau takut untuk mendapatkan maklumat mengenai kanser payudara.
  • Lakukan pemeriksaan klinikal payudara di fasiliti kesihatan berhampiran secara berkala.
  • Rawatan perubatan pada peringkat awal dapat menyelamatkan diri anda.

            

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *