BANGI: Kira-kira 100 murid Tahun 6 di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya menyertai Klinik Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) Tahun 6 Zona Didik yang berlangsung di German Malaysian Institute di sini, 3 Oktober lalu.
Selain murid dari kawasan berhampiran, terdapat juga murid dari Pahang dan Lembah Klang seperti Gombak, Ampang dan Kuala Lumpur menyertai program anjuran Alfy Legacy itu.
Program sehari itu membabitkan pengisian bagi empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains merangkumi pelbagai teknik mudah menjawab soalan berdasarkan invoasi dihasilkan penceramah.
Penceramah Klinik PKSK Tahun 6 Zona Didik terdiri daripada Guru Cemerlang, Jurulatih Utama, bekas penulis sisipan Didik Berita Harian (BH), penulis buku set soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) BH Didik dan bekas penceramah Klinik UPSR BH Didik.
PKSK pertama kali diperkenalkan tahun ini berikutan pembatalan UPSR sebagai satu langkah Kementerian Pelajaran (KPM) bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia, bermula awal tahun ini.
Pentaksiran itu diadakan bagi menguji murid Tahun 6 menggunakan kaedah pentaksiran berpusat sebagai syarat untuk kemasukan ke Tingkatan 1 di Sekolah Khusus pada tahun 2021.
Berbeza dengan UPSR, PKSK dilakukan secara dalam talian (online) menggunakan ‘kaedah single entry point’ bermula 12 Oktober hingga 23 Oktober bagi mereka yang sudah mendaftar.
PKSK bukan sahaja kaedah untuk kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seperti Sekolah Menengah Sains, Sekolah Tun Fatimah, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Sri Puteri, Sekolah Alam Shah, tetapi juga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).
PKSK terbahagi kepada tiga bahagian seperti berikut:
- Bahagian A: Kecerdasan Insaniah (EQ, SQ dan SSQ) – 20 peratus
- Bahagian B: Kecerdasan Intelek (IQ, Pengetahuan Am dan Penyelesaian Masalah) – 70 peratus
- Bahagian C: Artikulasi Penulisan – 10 peratus