Friday, April 26

Tapai Banjar istimewa, mudah disediakan

Tapai beras bukan sesuatu yang baru dalam senarai menu tradisional masyarakat berbilang budaya di negara ini, bahkan setiap individu kenal akan pemanis mulut dihasilkan daripada beras pulut yang diperam dengan ragi itu.

Bagi masyarakat Banjar umpamanya, tapai beras adalah pemanis mulut yang sangat istimewa kerana sering dihidangkan ketika majlis penting berlangsung seperti kenduri kahwin, kenduri kesyukuran dan majlis akikah.

Muziah Sulaiman, 52, berkata tapai Banjar sama sahaja rasanya seperti tapai biasa, namun yang membezakannya ialah teknik pembuatan tapai yang menggunakan pewarna asli.

Muziah bersama tapai berwarna hijau yang dihasilkan daripada pucuk manis dan pandan. Foto: Arkib Zona Suri.

“Tapai beras lazimnya tidak berwarna, tetapi kami pula memilih untuk menghasilkan tapai berwarna hijau dengan menggunakan daun tertentu.

“Biasanya warna hijau diperoleh daripada daun pandan, akan tetapi kami juga menggunakan pucuk manis untuk mendapatkan warna hijau,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kg Sireh, Sekinchan, baru-baru ini.

Selain dimakan sebagai pemanis mulut, tapai beras juga dinikmati bersama ais krim dan ais cendol malah boleh juga dijadikan puding.

Daun pandan dan pucuk manis digunakan sebagai bahan pewarna untuk meghasilkan tapai Banjar. Foto: Arkib Zona Suri.

Ada yang menggunakan daun getah atau daun keladi untuk membungkus tapai, namun begitu peredaran masa menyaksikan tapai kini dimasukkan di dalam bekas plastik menjadikan lebih mudah digunakan.

Muziah turut berkongsi dengan pembaca Zona Suri cara-cara menyediakan tapai Banjar yang wangi dan enak baunya itu.

Tapai Banjar

Bahan-bahan:

1 ikat pucuk manis (dikisar dengan 2 L air hingga hancur. Tapis hampasnya)

3 helai daun pandang (boleh dikisar bersama pucuk manis, pandan boleh juga digunakan untuk warna dan untuk mendapatkan aroma.)

1 ketul ragi

1 kg beras pulut

Cara penyediaan:

  1. Rendam beras pulut selama tiga jam menggunakan air biasa. Selepas tiga jam, tos dan kukus pulut hingga masak.
  2. Angkat dan masukkan sedikit demi sedikit air pucuk manis bercampur pandan ke dalam pulut. Gaul hingga sebati dan kukus sekali lagi.
  3. Apabila sejuk, taburkan serbuk ragi hingga sekata.
  4. Sendukkan ke dalam bekas plastik atau daun getah. Peram selama dua hingga tiga hari supaya tapai benar-benar masak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *