Tuesday, April 23

NKF bantu kurangkan beban pesakit buah pinggang

KUALA LUMPUR: Kegagalan buah pinggang sering dianggap penyakit ‘orang kaya’ berikutan rawatannya yang agak mahal. Pesakit bukan sahaja perlu menjaga pemakanannya, tetapi juga melakukan rawatan dialisis antara dua hingga tiga kali seminggu, sepanjang hayat.

Dianggarkan rawatan bagi seorang pesakit buah pinggang adalah kira-kira antara RM700 hingga mencecah ribuan ringgit sebulan. Bagi pesakit yang kurang berkemampuan, lazimnya rawatan dialisis boleh dilakukan di hospital kerajaan, manakala bagi bekas penjawat awam kos rawatan akan ditanggung kerajaan.

Menyedari keperluan itu, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) melancarkan Program Bantuan Kacang Merah atau Red Bean Assistance Programme bagi membantu pesakit buah pinggang.

Program yang dilancarkan pada 1 Ogos 2019 dengan kerjasama Roche Malaysia itu, diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai beban ekonomi yang dihadapi pesakit buah pinggang kronik (CKD) dengan masalah anemia.

Pengerusi NKF, Datuk Dr Zaki Morad

Pengerusi NKF, Datuk Dr Zaki Morad, berkata menerusi program itu, pesakit CKD khususnya dalam kalangan pesakit B40 akan menerima bantuan separuh atau sepenuhnya bagi melakukan rawatan Erythropoietin-Stimulating Agent (ESA).

“Pesakit buah pinggang memerlukan rawatan jangka masa panjang dan kos rawatannya amat tinggi khususnya pesakit yang menghidap anemia buah pinggang. Ini akan membebankan pesakit terutama daripada golongan berpendapatan rendah.

“NKF menyediakan sokongan dan rawatan di semua 27 pusat kami di seluruh negara membabitkan lebih 1,700 pesakit. Menerusi program ini, rawatan ESA akan dikongsi antara pesakit, NKF dan Roche Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan pada 2018 mendapati terdapat kira-kira 15.48 peratus pesakit buah pinggang yang mengalami masalah CKD dengan anggaran 50,000 pesakit melakukan rawatan dialisis di seluruh negara.

Kebanyakan pesakit akan mengalami masalah anemia iaitu kekurangan sel darah merah dan masalah ini akan menjadi lebih serius apabila kerosakan buah pinggang semakin berkembang.

Lazimnya, eritropoietin (EPO) dalam buah pinggang akan merangsang penghasilan sel darah merah, namun kegagalan buah pinggang menyebab tahap EPO turut berkurangan.

Tahap EPO yang rendah akan menyebabkan pembentukan anemia, malangnya pesakit buah pinggang juga akan kehilangan sedikit darah ketika melakukan rawatan hemodialisis, sekali gus mengurangkan kandungan hemoglobin.

Rawatan ESA akan membantu memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah. Rawatan inovatif bulanan itu akan membantu menguruskan masalah anemia buah pinggang dalam kalangan pesakit.

Nama Red Bean Assistance Programme dipilih kerana kacang merah menggambarkan bentuk dan warna buah pinggang manusia. Program itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 600 pesakit pada tahun pertama dan 1,000 pesakit bagi dua tahun berikutnya, menjadikan jumlah 1,600 pesakit yang akan mendapat manfaat dalam tiga tahun pertama.

Bantuan rawatan EPO itu diberikan bukan sahaja kepada pesakit yang berdaftar di pusat dialisis NKF, tetapi juga pesakit di hospital kerajaan, hospital atau klinik swasta dan pusat dialisis kendalian badan bukan kerajaan (NGO).

Pesakit yang memohon akan dinilai oleh pakar nefrologi bertauliah sebelum dirujuk ke pusat dialisis NKF berdekatan, namun setiap pesakit akan dinilai selepas setahun rawatan dilakukan untuk rawatan sambungan.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang kepada inisiatif NKF dalam usaha membantu pesakit buah pinggang boleh mendapatkan maklumat lanjut dalam laman sesawang www.nkf.org.my atau hubungi talian 03-79549048 sambungan 218/207.

Pesakit buah pinggang perlu melakukan rawatan dialisis antara dua hingga tiga kali setiap minggu. (Kredit gambar: Persatuan Hemodialisis Negeri Sembilan & Melaka)

Punca-Punca Penyakit Buah Pinggang

Menurut portal MyHealth, Yayasan Buah Pinggang Amerika (2005) mendefinisikan keadaan buah pinggang yang kronik hanya berada pada tahap 10 peratus kapasiti normal. Penyakit ini berlaku apabila buah pinggang tidak lagi berupaya menapis bahan buangan secara normal.

Sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit buah pinggang tanpa mengira umur, namun terdapat sesetengah orang mempunyai risiko lebih tinggi berbanding yang lain bergantung sekiranya mempunyai faktor-faktor berikut:

  • Penyakit kencing manis
  • Penyakit tekanan darah tinggi
  • Mempunyai sejarah keluarga penghidap masalah buah pinggang
  • Tua sebelum usia (menampakkan seseorang sebelum usia sebenar)

Tanda Awal Mengalami Masalah Buah Pinggang

Kebanyakan pesakit tidak mengalami simptom yang ketara sehingga mengalami kerosakan buah pinggang yang teruk. Bagaimanapun, tanda-tanda awal itu boleh diperhatikan sekiranya mengalami situasi berikut:

  • Merasa keletihan dan tidak bertenaga.
  • Mudah hilang fokus.
  • Hilang selera makan.
  • Mengalami masalah tidur.
  • Mengalami kekejangan otot pada waktu malam.
  • Mengalami bengkak pada kaki dan sendi.
  • Mengalami bengkak di sekeliling mata terutama pada waktu pagi.
  • Mempunyai kulit yang kering dan gatal.
  • Membuang air kecil yang kerap terutama pada waktu malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *