Tuesday, December 3

Selam bebas didik minda lebih fokus, teroka keupayaan diri

Selam bebas atau selam skuba adalah dua disiplin berbeza meskipun kedua-duanya membabitkan medium air dan kini semakin ramai rakyat Malaysia melakukan hobi yang dianggap agak mencabar, namun menyeronokkan.

Selam bebas memerlukan fokus pada minda dan potensi diri. Foto kredit : Najah Athirah Mohamad Asri.

Apa tidaknya, dunia bawah air menyediakan pelbagai pemandangan yang tidak mungkin dapat dilihat di daratan terutama hidupan laut seperti  ikan dan karang-karangan unik serta menakjubkan.

Bagi Najah Athirah Mohamad Asri, selam bebas yang dilakukan sangat menarik perhatiannya meskipun aktiviti itu agak kurang sambutan di negara ini berbanding selam skuba yang lebih ramai penggiatnya.

“Pada pengamatan saya, selam bebas (free dive) tidak begitu terkenal di negara kita, tapi sukan ini sangat digemari di negara  di Barat.

“Mungkin kerana selam bebas tidak mengambil masa lama ketika kita berada di dalam air dan berapa lama sahaja pun kita boleh menahan nafas apabila berada di bawah sana,” katanya ketika ditemui  Zona Suri di Tioman, baru-baru ini.

Selam bebas biasanya dilakuka secara berpasangan. Foto kredit: Najah Athirah Mohamad Asri.

Selam bebas ialah satu disiplin selaman yang penggiatnya tidak memerlukan  tabung oksigen sebaliknya latihan minda dan fokus pada disiplin sangat diperlukan apabila melakukannya.

Athirah yang juga penyelam skuba berkata,  setiap individu pastinya mempunyai tujuan dan mendapat manfaat berbeza daripada kegiatan yang dilakukan serta beliau sendiri cukup gembira dengan apa yang diperoleh setiap kali melakukan selam bebas.

“Bagi kesan jangka panjang , saya menjadi lebih fokus dengan apa yang saya lakukan dan dapat mengetahui keupayaan minda saya setiap kali turun menyelam.

“Pada masa sama, banyak lagi aspek diri sendiri yang saya boleh kenal pasti keupayaannya atau dalam erti kata lain, potensi diri,” katanya.

Bagaimanapun, Athirah berkata selam bebas juga menjadikan individu boleh mengetahui  kekuatan mental  untuk meneroka lebih jauh tahap kedalaman air serta perlu ada keberanian  untuk melakukannya.

“Saya anggap setiap kali saya melakukan selam bebas, itu adalah ‘me time’ yang sangat berharga dan bernilai .

“Kegiatan ini seakan  terapi bagi saya, membentuk disiplin diri yang lebih baik dengan menerokai keupayaan tanpa had memandangkan kerja saya sebagai juru audit  biasanya meletakkan saya dalam keadaan tekanan sedangkan saya  memerlukan  masa ‘relax’ untuk lebih produktif,” katanya.

Latihan awal untuk selam bebas dilakukan di kolam renang. Foto kredit: Najah Athirah Mohamad Asri.

Athirah berkongsi lima pandangan mengenai selam bebas:

  1. Selam bebas berupaya menghilangkan tekanan sebaliknya mengajar idividu menjadi lebih fokus.
  2. Ada pendapat mengatakan selam bebas adalah sukan yang agak bahaya, namun sukan ini boleh dikawal sekiranya anda mengetahui prosedur dan mengikut peraturan yang sewajarnya.
  3. Selam bebas bagus untuk terapi mental.
  4. Selam bebas juga boleh digunakan untuk teroka keupayaan diri.
  5. Selam bebas juga adalah teknik terbaik untuk menenangkan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *