Friday, November 15

Klinik PKSK Tahun 6 Zona Didik disertai lebih 700 peserta

Klinik PKSK Tahun 6 Zona Didik dilaksanakan secara dalam talian. (Gambar Zona Suri)

BANGI: Menyeronokkan dan amat membantu, itu antara komen peserta Klinik Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus Tahun 6 Zona Didik yang dilaksanakan secara dalam talian, baru-baru ini.

Sejak sesi pertama yang dianjurkan pada 3 November lalu, program anjuran Alfy Legacy itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila lebih 700 murid Tahun 6 dari seluruh negara menyertai Klinik PKSK itu.

Sambutan menggalakkan itu menyebabkan Alfy Legacy menganjurkan sebanyak empat sesi dengan setiap sesi membabitkan kira-kira 150 hingga 180 peserta.

Peserta sesi keempat, Muhammad Asyraaf Aiman Mukmin, mengakui sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi aplikasi Google Meet itu banyak membantu beliau membuat persediaan menjelang sesi PKSK yang ditetapkan.

Muhammad Asyraaf Aiman Mukmin khusyuk mengikuti Klinik PKSK Tahun 6 Zona Didik (Gambar ihsan Mukmin Mohd Rukun)

“Saya berpendapat Klinik PKSK Tahun 6 Zona Didik ini sangat bagus kerana modul-modul yang disediakan dalam program ini banyak membantu saya dalam membuat persediaan untuk menduduki ujian PKSK.

“Saya berpendapat rakan-rakan juga perlu mula membiasakan diri menggunakan aplikasi dalam talian seperti Google Meet. Pembelajaran dalam talian sangat penting dan menjadi alternatif berguna dalam pembelajaran pada era norma baharu ini,” katanya yang dihubungi menerusi bapanya, Mukmin Mohd Rukun.

Program sehari itu membabitkan pengisian bagi empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains merangkumi pelbagai teknik mudah menjawab soalan berdasarkan invoasi dihasilkan penceramah.

Muhammad Asyraaf Aiman Mukmin mengikuti pembelajaran dalam talian dari rumah. (Gambar ihsan Mukmin Mohd Rukun)

Penceramah Klinik PKSK Tahun 6 Zona Didik terdiri daripada Guru Cemerlang, Jurulatih Utama, bekas penulis sisipan Didik Berita Harian (BH), penulis buku set soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) BH Didik dan bekas penceramah Klinik UPSR BH Didik.

Sementara itu, Mukmin akui anaknya, Muhammad Asyraaf Aiman nyata seronok sepanjang sesi pembelajaran menerusi dalam talian itu dan mendapat panduan bermanfaat bagi persediaan PKSK.

Selain Mukmin, sebahagian besar ibu bapa yang mendaftar anak mereka menyertai program berkenaan turut memberi maklum balas positif dan mengakui sesi berkenaan bersesuaian dengan keadaan semasa.

PKSK pertama kali diperkenalkan tahun ini berikutan pembatalan UPSR sebagai satu langkah Kementerian Pelajaran (KPM) dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Selain Klinik PKSK Tahun 6 Zona Didik, Alfy Legacy turut menganjurkan Klinik SPM Zona Didik. Orang ramai yang berminat untuk menyertai program berkenaan boleh mendapatkan maklumat menerusi Facebook Zona Didik atau hubungi talian 019-6233237 atau wakil Alfy Legacy di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *