Monday, November 25

Piza rendang maman daging salai enak!

Piza makanan asas orang Itali, tapi penduduk Malaysia juga turut menggemarinya kerana mengenyangkan dan mudah dikendalikan.

Piza rendang maman daging salai. Pic – zonasuri.com

Hal lain yang menyebabkan piza digemari ramai ialah adanya pilihan pelbagai inti yang ditawarkan pembuatnya mahupun restoran makanan segera menjual pizza dengan seribu satu macam inti.

Namun jika anda mencari piza beridentitikan Melayu atau memiliki elemen tempatan, piza ditawarkan Kafe Kayo ini tentunya memenuhi selera kerana keunikan dan keenakannya.

Pizza rendang maman daging salai yang juga ‘signature dish’ bagi kafe berkenaan yang terletak di Tampin ternyata enak dan amat menyelerakan untuk dinikmati pada bila-bila masa sekali pun.

Lembut dan aroma yang mencetus ‘perut lapar’ antara faktor unik yang ada pada pizza berkenaan dan lebih menyelerakan, rendang mamannya sangat sedap.

Pengasas Kafe Kayo, Zai Azizul Zainol. Pic – Zonasuri.com

Pemilik kafe, Zai Azizul Zainol, 48, berkata beliau menawarkan pizza dengan inti berperasa tempatan bagi mencari kelainan selain mahu mengekalkan elemen kenegerian seperti rendang maman dan daging salai.

“Kami di Kafe Kayo seboleh-bolehnya mahu mengekalkan identiti tempatan, sebab itulah ada menu yang sengaja dihasilkan, menggunakan bahan tempatan. Selain pizza, kami ada minuman Asam Jawa Soda.

“Semua aksesori dalam kafe ini juga adalah barang milik peribadi dan saya hias sendiri bagi memberi kelainan kepada kafe yang diusahakan,” katanya ketika ditemui di kafe berkenaan, baru-baru ini.

Susur tangga dipenuhi dulang loyang corak klasik di kafe Kayo ini. Pic – Zonasuri

Zai Azizul yang juga seorang chef dan pernah berkerja di German dalam bidang F&B turut menjelaskan beliau mempunyai prosedur operasi standard dalam penyediaan menu yang dijual di kafe miliknya itu.

Dengan adanya prosedur operasi standard, mutu makanan akan sentiasa terjaga selain memudahkan tugas pekerja yang bertugas.

Satu lagi ruang menarik di kafe Kayo. Pic – Zonasuri

“Saya menyediakan prosedur operasi standard untuk dirujuk oleh pekerja ketika berkerja, jadi keadaan ini membuatkan mereka lebih teratur mengendalikan makanan serta pesanan pelanggan.

“Begitu juga untuk penyediaan piza rendang maman daging salai itu, sebab itu memudahkan pekerja memastikan piza kekal dengan rasa yang sama walau siapa sahaja yang datang ke sini,” katanya.

Pekerja kafe, Nadirah, menghantar piza dipesan pelanggan. Pic – Zonasuri

Beliau pada mulanya berniaga air balang selepas pulang ke tanah air dan melangkah setapak lagi membuka gerai di tepi jalan sebelum membuat keputusan membuka kafe miliknya sendiri kerana tidak mahu berkerja dengan majikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *