Tuesday, April 16

Sukan renang lonjak nama Zara Aleesya

Gajet elektronik sering menjadi pilihan ibu bapa untuk diberikan kepada anak sebagai alat ‘mendiamkan’ mereka ketika di rumah, di dalam kenderaan atau ketika ibu bapa sibuk bekerja.

Zara Aleesya dan ibunya ketika kejohanan Renang Fin Malaysia 2023 di Pusat Akuatik Paroi, Seremban. Pic – Zonasuri.com

Bagi Haslinda Haron dan suami, Mohammad Suadi, mereka memilih untuk tidak membiasakan anak dengan gajet, sebaliknya menggalakkan anak menceburi bidang sukan seperti renang yang mempunyai manfaat tersendiri.

“Saya dan suami mengambil keputusan mendorong Zara Aleesya belajar berenang kerana berenang bagus untuk psikomotor kanak-kanak.

“Selain itu, tujuan utamanya ialah mengelakkan Zara daripada terlalu bergantung atau terdedah dengan gajet elektronik,” katanya ketika di temui di Kejohanan Finswimming Malaysia (MFS) 2023 di Pusat Akuatik Paroi, Seremban, baru-baru ini.

Zara Aleesya Mohd Suadi, 11.

Di kejohanan berkenaan, Zara Aleesya Mohamad Suadi, 11, memenangi lima pingat emas dan satu perak dalam kategori renang yang disertainya dan apa yang lebih membanggakan ialah kejohanan berkenaan adalah pertama kali dianjurkan di Malaysia oleh MFS.

Berkongsi lebih lanjut mengenai Zara, Linda berkata anak perempuannya itu mula belajar berenang sejak kecil dan menunjukkan minat luar biasa terhadap sukan air.

“Sejak usia lima tahun Zara sudah dihantar memasuki kelas renang dan belajar secara serius untuk persediaan menyertai pertandingan pada usia tujuh tahun. Keyakinan diri Zara meningkat dan bertambah baik daripada pelbagai aspek setelah memasuki disiplin ini.

“Bakat Zara dicungkil oleh Kelab Renang Penguin (Penguin Swimming Club) ketika Zara tujuh tahun dan kelab berkenaan juga memberi keyakinan kepada kami bahawa Zara boleh berenang serta berjaya dalam sukan ini,” katanya.

Senario sekitar Kejohanan Renang Fin Malaysia 2023 di Pusat Akuatik Paroi, Seremban, baru-baru ini. Pic by Zonasuri.com

Bagaimanapun akuinya, kejonanan fin swimming itu bukan kejohanan pertama bagi Zara kerana sebelum ini pelajar Sekolah Methodist Perempuan (2) Melaka itu juga menyertai Kejohanan Renang Terbuka Port Diskson dan menduduki tempat ketiga untuk kategori bawah 10 tahun.

Senario sekitar Kejohanan Renang Fin Malaysia 2023 di Pusat Akuatik Paroi, Seremban, baru-baru ini. Pic by Zonasuri.com

Terkini, Zara Aleesya juga terpilih mewakili Kelab Renang Penguin dan MFS ke Sukan SEA.

Nama : Zara Aleesya Binti Mohamad Suadi

Usia : 11 tahun

Sekolah : Sekolah Perempuan Methodist (2) Melaka

Kelab disertai : Penguin Swimming Club Melaka (PGSC)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *