Sunday, December 22

Latar hijau jadikan Atameme segar, damai

Apabila mengambil keputusan mengunjungi kafe, pelbagai faktor diambil kira selain makanan ditawarkan enak dan sedap, senario atau susun atur dalam kafe juga turut diberi perhatian.

Ruang hadapan kaunter yang luas memudahkan pengunjung membuat pilihan bila mengunjungi Atameme.

Adalah satu bonus sekiranya kafe dikunjungi mempunyai susun atur yang kemas, ruang luas yang memberi lebih kebebasan untuk bergerak mahupun beraktiviti sesama sendiri.

Kafe Atameme mungkin tidak begitu dikenali ramai kerana agak jauh dari ibu kota, namun lokasinya tidak menghalang penulis mengunjungi kafe berkenaan lantaran tertarik dengan susun atur dan suasana damai di kafe berkenaan.

Pengurus kafe Atameme, Muhammad Muslim Mustafa bersedia menunggu pengunjung yang ingin datang menikmati menu ditawarkan.

Damai yang dimaksudkan itu adalah latar hijau yang menjadi warna asas kafe serta meja kayu yang tersusun rapi di bahagian ruang kafe selain untaian tumbuh-tumbuhan hijau di dalamnya.

Menu pilihan penulis, Shaksuka daripada sourdough yang dihasilkan sendiri di dapur Atameme.

Pemilik kafe, Norhawanis Mustafa, berkata beliau sengaja menghias Atameme dengan tumbuh-tumbuhan hijau bagi memastikan suasana segar mengitari ruang kafe berkenaan.

“Kami sengaja menghiasnya dengan tumbuh-tumbuhan hijau dan terrarium kecil yang juga dijual kepada pengunjung.

“Jika ada yang datang untuk menjamu selera di sini, mereka bukan setakat menikmati makanan, bahkan dapat menjamu mata dengan elemen hijau yang menyegarkan,” katanya ketika ditemui di kafe berkenaan.

Kek beri biru yang sangat sedap boleh dinikmati di Atameme.

Bagi penulis Atameme adalah kafe mesra rasa kerana selain menu ditawarkan enak dan menyelerakan, ruang yang luas turut menyediakan pengudaraan yang nyaman dan selesa.

“Menu utama kami adalah roti sourdough yang kami hasilkan sendiri di dapur Atameme serta  beberapa jenis kek bagi memenuhi permintaan penggemar manisan.

“Untuk tempoh jangka masa panjang, kami akan menawarkan lebih banyak menu. Buat masa kini, kami memilih untuk memberi tumpuan kepada kemasan dan pengisian Atameme supaya lebih ramai pengunjung datang menikmati kopi dan menu kami,” katanya.

Norhawanis dan Muslim di hadapan kafe Atameme.

Sehubungan itu, jika ada yang mencari kafe dengan persekitaran aman dan damai, Atameme yang terletak di Mecato2, Bandar Enstek ini ada apa yang dicari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *