KUALA LUMPUR: Peminat kumpulan sensasi Korea Selatan, BlackPink dan Selena Gomez pasti teruja apabila kedua-duanya bakal bergabung menerusi lagu baharu yang bakal dilancarkan pada 28 Ogos 2020!
Kerjasama itu diumumkan Selena dan BlackPink menerusi laman media sosial masing-masing, baru-baru ini. Lagu yang tidak dinyatakan judulnya itu boleh dimuat turun menerusi pautan http://smartul.it/SELPINK.
Selena yang nyata teruja dengan kerjasama itu kini juga sibuk dengan program masakannya menerusi kerjasama dengan beberapa chef terkenal.
“Saya amat gembira untuk mengumumkan @BlackPinkOfficial dan saya akan berduet menerusi satu lagu yang akan diterbitkan pada 28 Ogos ini,” katanya.
BlackPink yang baru menerbitkan lagu baharu mereka, How You Like That tidak asing di Asia, namun tidak begitu dikenali di Barat berbanding beberapa kumpulan K-Pop seperti BTS dan Big Bang.
BlackPink yang ditubuhkan pada 2016 di bawah syarikat YG Entertainment merangkumi empat ahli iaitu Jisoo, Rose, Jennie dan Lisa, warga Thailand yang juga satu-satunya ahli yang bukan berasal dari Korea Selatan.
Album pertama mereka, Square One yang mengandungi lagu seperti Whistle dan Boombayah membawa BlackPink ke persada antarabangsa apabila lagu berkenaan berada pada carta lagu popular di beberapa negara seperti United Kingdom, Kanada dan Australia.
Lagu berikut seperti Dhu-Du-Dhu-Du dan Kiss and Make Up yang diterbitkan pada 2018 diikuti Kill This Love (2019) terus mengukuhkan nama BlackPink sebagai kumpulan nombor satu Asia.
Kerjasama dengan Selena yang bukan sahaja terkenal sebagai penyanyi tetapi juga pelakon di Hollywood dilihat cara bagi kumpulan berkenaan mengukuhkan nama di Barat khususnya di Hollywood.
Ketika ini, BlackPink mempunyai 27.1 juta pengikut dalam laman Instagram berbanding Selena yang mempunyai 187 juta pengikut.
Gadis kecil molek berwajah Latin itu pernah dinobatkan sebagai selebriti dengan jumlah pengikut paling tinggi di Instagram, namun sejak dua tahun kebelakangan ini kedudukan Selena semakin menurun apabila berada pada tempat keenam di belakang beberapa selebriti lain.
Tidak hairanlah kebanyakan media Barat berpendapat kerjasama Antara Selena dengan BlackPink bakal meningkatkan populariti mereka di peringkat antarabangsa.
Apapun, pasti ramai peminat Selena dan BlackPink tidak sabra menanti 28 Ogos ini!