Friday, April 26

Skon beri biru sesuai untuk minum petang

DAMANSARA: Beri biru bukan sahaja enak dimakan mentah atau dijadikan salad buah-buahan, buah berwarna ungu pekat itu juga sering menjadi antara bahan penting dalam pembuatan skon atau kek.

Chef Selebriti yang juga pengasas SukaSucre Bistro, Chef Datuk Fazley Yaakob berkata, beliau sudah mengenali beri biru sejak kecil ketika kedua-dua ibu bapa menetap di New Zealand lebih 30 tahun lalu.

Chef Datuk Fazley Yaakob bersama skon beri biru yang dihasilkan dengan menggunakan beri biru US Highbush. Foto: Arkib Zona Suri.

“Ketika itu, arwah bapa menuntut di sana dan saya sudah terdedah dengan buah beri yang boleh dimakan begitu sahaja, malah dengan khasiat yang dimilikinya, beri biru antara buah yang enak untuk dimasukkan ke dalam salad.

“Saya juga membawa beri biru ketika mendaki Gunung Kinabalu bersama keluarga tidak lama dahulu kerana buah berkenaan membekalkan tenaga yang diperlukan badan  untuk aktiviti sedemikian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran US Highbush Bluberries Season 2020: Your Berry Best Friend di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dari kiri: Retna, Fazley, William dan Rowena pada majlis memperkenalkan beri biru US Highbush di Petaling Jaya. Foto: Arkib Zona Suri.

Turut hadir, Atase Agrikultur Jabatan Agrikultur US, William Verzani; Pakar Pemasaran Agrikultur US, Rowena Ngumbang dan Pengarah Urusan All About Fresh Produce Malaysia, Retna Malar Subramanian.

Beri biru Highbush US sangat sesuai diambil oleh individu yang ingin menjaga berat badan kerana buah kecil daripada US itu kaya serat, sumber vitamin C dan K selain rendah sodium.

Selain enak dimakan segar atau dingin beku, beri biru juga boleh digunakan untuk penyediaan kek, ais krim, minuman, manisan dan pelbagai lagi.

Pelbagai jenis hidangan manisan disediakan daripada beri biru. Foto: Arkib Zona Suri.

Pada majlis sama, Datuk Fazley berkongsi  cara menyediakan skon beri biru yang sangat enak bersama hadirin dan turut membuat demonstrasi hidangan ‘Sweet Table.’

Hidangan Sweet Table disediakan Fazley pada majlis sama. Foto: Arkib Zona Suri.

Skon Beri Biru                                                                   

Bahan-bahan:

1 cawan beri biru beku US Highbush

2 cawan tepung

¼ cawan gula

2 sudu teh serbuk penaik

¼ sudu teh garam

8 sudu besar keju, potong menjadi ketulan kecil

2 sudu teh thyme segar

1 sudu teh parutan lemon

¼ sudu teh serbuk lada hitam

½ cawan susu segar

1 biji telur (pukul perlahan)

Cara penyediaan:

  1. Panas ketuhar pada suhu 200 darjah Celsius dan sediakan dulang pembakar. Lengser sedikit mentega supaya adunan tidak melekat.
  2. Dalam mangkuk berisi keju, satukan tepung, gula, serbuk penaik dan garam. Dengan menggunakan pemotong pastri, potong keju kepada bahagian kecil dan pastikan sebati dengan bahan-bahan tadi.
  3. Kemudian masukkan beri biru, thyme, parutan lemon dan lada hitam. Masukkan juga susu segar sedikit demi sedikit sehingga adunan sempurna. Jika kelihatan kering, tambahan sedikit lagi susu.
  4. Apabila sudah sebati, keluarkan doh dan canai sehingga satu inci tebal, potong kepada lapan bahagian, susun di dalam loyang serta sapukan telur pada permukaan doh. Bakar selama 20 minit atau sehingga doh berwarna perang keemasan. Sejukkan seketika dan sedia untuk dimakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *