Saturday, April 20

Pelbagai jenis gaya aksesori cantik penyambung pelitup muka

Budaya norma baharu yang semakin serasi dengan masyarakat kini menyaksikan pelbagai fesyen pelitup muka dipakai setiap individu sejurus melangkah keluar dari kediaman untuk ke tempat kerja mahupun melakukan urusan harian.

Tag roti Gardenia pun boleh dijadikan aksesori penyambung pelitup muka. Foto: Zona Suri.
Getah dan tag roti Gardenia dijadikan penyambung pelitup muka. Foto: Zona Suri.

Tindakan berkenaan dilakukan bertujuan melindungi diri daripada jangkitan wabak COVID-19 selain penggunaan pelitup kini adalah wajib dan denda RM1,000 dikenakan pihak berkuasa sekiranya tidak memakai pelitup muka.

Tidak hairanlah kini pelbagai fesyen pelitup muka dijual di pasaran, namun kebanyakannya ditawarkan dalam bentuk tali yang digantung di telinga, sekali gus menyukarkan pemakaian bagi wanita berhijab.

Oleh itu, kini timbul pelbagai gaya penyambung pelitup muka (mask extension) di pasaran. Ada yang menggunakan bahan seperti getah atau plastik dan tidak kurang juga yang menjual penyambung pelitup muka yang diperbuat daripada kain atau dikait dengan butang menarik pada kedua-dua hujung penyambung berkenaan.

Tag roti Gardenia yang berwarna-warni menarik perhatian untuk dijadikan aksesori penyambung pelitup muka. Foto: Zona Suri.

Atas nama fesyen juga, ada penyambung pelitup muka dihasilkan daripada klip kertas, dikait menggunakan benang bulu, jahitan silang pangkah dan lebih menarik, menggunakan wayar komputer yang sudah tidak digunakan lagi, kreatif.

Ini kreatif namanya, wayar USB pun boleh dijadikan tali penyambung pelitup muka. Foto: Zona Suri.

Namun begitu, konsep kitar semula dan penjimatan belanja yang diamalkan sesetengah individu nyata amat praktikal dan menarik perhatian kerana hanya menggunakan getah dengan kombinasi tag pengikat roti Gardenia sahaja.

Penyambung berkenaan bukan sahaja murah, malah amat kreatif kerana anda hanya memerlukan sekeping tag roti Gardenia dan jika mahu lebih longgar, gunakan dua getah pada kiri dan kanan pelitup muka.

Seorang pengunjung kafe yang ditemui di sebuah kafe di Bangsar baru-baru ini berkata, beliau menggunakan tag roti Gardenia kerana suka dengan warna yang terdapat pada tag berkenaan.

“Saya beli roti Gardenia setiap minggu dan tidak akan buang tagnya kerana suka dengan warnanya yang pelbagai, banyak perkara yang boleh saya lakukan dengan kepingan plastik kecil berkenaan selain mengingatkan saya mengenai tarikh luput roti.

“Saya gunakan tag itu sebagai penanda buku, pengikat wayar elektrik dan terkini saya jadikan tag roti Gardenia sebagai penyambung pelitup muka, seronok pula bila setiap hari boleh tukar warna ikut kesesuaian tudung atau baju yang saya pakai,” katanya yang tidak mahu dikenali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *