Thursday, November 21

Mira Filzah selamat diijab kabul dengan Wan Emir

Majlis pernikahan Mira Filzah dengan pasangannya, Wan Emir. (Kredit YouTube TV3))

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH ke-32),Mira Filzah, 27, selamat diijabkabulkan sebentar tadi dengan jejaka pilihannya, Wan Emir Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30 di hadapan keluarga terdekat dan kira-kira 250 jemputan.  

Selepas muncul bersama-sama buat pertama kali dengan jejaka berkenaan pada majlis resepsi Farah Nabilah, gossip mengenai majlis pernikahannya yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat, bertiup kencang.

Bagaimanapun, Mira Filzah mengakhiri teka-teki mengenai tarikh pernikahannya apabila mengesahkan akan mengakhiri zaman gadisnya dengan Wan Emir menerusi akaun Instagramnya jam 5 petang tadi.

Kenyataan yang dikeluarkan itu antara lain turut memohon maaf kerana merahsiakan majlis berkenaan selain menjelaskan majlis diadakan secara kecil-kecilan berikutan keadaan semasa terutama negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Insya-Allah malam ini Mira akan bernikah. Di sini Mira ingin mengambil kesempatan untuk meminta maaf pada sesiapa sahaja jika ada yang terluka, terkasar bahasa, tersilap kata dan sebagainya.

“Mira akan melalui fasa baharu dalamkehidupan malam ini, Mira nak mulakan dengan hati yang bersih dan tenang, serta mengharapkan doa daripada kalian agar majlis ini berjalan lancar dan dipermudahkan,” katanya.

Mira Filzah menandatangani dokumen pernikahan pada majlis yang diadakan di sebuah pusat konvensyen di Kuala Lumpur. (Kredit YouTube TV3)

Majlis pernikahan Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman disiarkan secara langsung menerusi program MBuzz TV3 dan YouTube TV3 selaku penyiar rasmi detik istimewa berkenaan.

Menerusi kenyataan itu juga Mira Filzah berharap tiada yang berkecil hati kerana tidak dapat memenuhi permintaan untuk menjemput lebih ramai tetamu pada majlis itu.

Pelakon yang sedang popular dengan drama rantaian Bidadari Kiriman Tuhan itu turut berharap masyarakat dapat mendoakan kesejahteraan beliau dan kehidupan baharunya itu.

Tenang dan ceria saat diijab kabul dengan insan tersayang. (Kredit Youtube TV3)

Sebelum ini, Mira Filzah pernah digosipkan dengan beberapa aktor terkenal, namun menafikan sebelum mengakui sedang menjalin hubungan dengan seseorang yang bukan daripada dunia seni.

Wan Emir yang berkelulusan daripada universiti di United Kingdom dan bekerja sebagai arkitek ialah anak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid.

Bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Wan Ahmad meninggal dunia dalam tragedi membabitkan nahas helikopter di Sarawak pada 2016.

Menurut laporan BH, majlis resepsi pasangan berkenaan akan diadakan di Hotel Le Meridien Putrajaya, 4 September 2020, manakala majlis resepsi yang diadakan pada 6 September 2020 akan disiarkan secara langsung menerusi program hiburan popular TV3, Melodi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *