Friday, April 19

Rakam gambar menarik di Sky Mirror, Kuala Selangor

Sky Mirror menghasilkan gambar pantulan langit yang cukup unik. (Gambar Zona Suri)

KUALA SELANGOR: Hakikatnya di Malaysia juga mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menjanjikan pelbagai pemandangan indah. Antaranya Pulau Cermin atau lebih dikenali sebagai Cermin Langit (Sky Mirror) yang terletak di perairan Kuala Selangor.

Pulau misteri itu yang hanya mempunyai dataran pasir seluas kira-kira 1 kilometer persegi asalnya sering dijadikan tempat nelayan untuk berehat sejak puluhan tahun lalu.

Kebanyakan nelayan menggelar pulau unik itu Pulau Sasaran tanpa mengetahui nilainya yang mampu membuka peluang pekerjaan dan pendapatan baharu bagi penduduk tempatan.

Ada nelayan yang mengatakan pulau itu sudah mula ditemui sejak 1960-an, namun hanya beberapa tahun kebelakangan ini dijadikan lokasi pelancongan berikutan keunikannya yang dapat merakam gambar langit dengan pantulan 180 darjah.

Pulau Cermin atau Pular Sasaran hanya mempunyai dataran pasir yang terbentang luas. (Gambar Zona Suri)

Jika ingin berkunjung ke Sky Mirror, anda perlu ke jeti di Kuala Selangor. Ketika ini terdapat beberapa jeti yang disediakan untuk lokasi misteri itu, antaranya di bandar Kuala Selangor dan juga pekan lama Kuala Selangor.

Perjalanan dari jeti Kuala Selangor ke Sky Mirror mengambil masa selama kira-kira 30 minit, namun anda perlu mengikut jadual waktu yang ditetapkan kerana bot perlu mengikut waktu air pasang surut.

Waktu perjalanan seawal jam 6.30 pagi bergantung pada permintaan pelanggan, namun lazimnya perjalanan bermula jam 8 pagi, 10 pagi dan 12 tengah hari.

Pengunjung akan berada di dataran pasir Sky Mirror selama kira-kira dua jam untuk proses rakaman gambar bersama jurugambar yang disediakan. Setiap bot yang membawa pelancong akan turut membawa seorang jurugambar yang akan merakam gambar setiap kumpulan.

Studio semula jadi yang dihasilkan jurugambar daripada agensi pelancongan bagi menghasilkan gambar pantulan 180 darjah. (Gambar Zona Suri)

Sebaik tiba di pulau itu, jurugambar akan membentuk ‘studio semula jadi’ daripada benteng pasir dan payung bagi menghasilkan gambar pantulan langit. Selain itu, setiap jurugambar akan menggunakan kreativiti masing-masing dengan prop atau objek yang boleh dijadikan hiasan gambar.

Jurugambar terlatih itu akan memastikan gambar yang dihasilkan adalah pantulan 180 darjah di atas satu garisan nipis seolah-olah anda berada dalam dua dunia.

Harga tiket untuk ke Sky Mirror bergantung pada agensi pelancongan iaitu antara RM60 hingga RM80 dan anda hanya perlu membawa diri sahaja.

Berikut beberapa persediaan untuk ke Sky Mirror:

1. Tiada tandas

Tiada bangunan atau tandas disediakan di Sky Mirror. (Gambar Zona Suri)

Memandangkan Pulau Cermin hanya terdiri daripada dataran pasir, tiada bangunan didirikan di atas pulau itu. Oleh itu, pastikan anda pergi ke tandas terlebih dahulu sebelum menaiki bot ke pulau berkenaan.

2. Pakai baju berwarna terang

Elak memakai baju berwarna lembut seperti putih atau kelabu kerana gambar yang dirakam akan berlatarkan langit biru yang pasti menenggelamkan penampilan anda. Sebaik-baiknya pakai baju berwarna seperti kuning, jingga, merah, merah jambu, ungu, hitam, coklat dan hijau tua. Jangan sekali-kali memakai jubah atau baju kurung kerana anda mungkin perlu melompat ketika sesi penggambaran.

3. Datang berkumpulan

Pemakaian baju terang mencantikkan gambar. (Gambar Zona Suri)

Pastikan pergi berkumpulan sekurang-kurangnya lima orang bagi memudahkan anda merakam gambar yang indah dan unik. Kebanyakan gambar yang dihasilkan memerlukan kerjasama dalam kumpulan.

4. Tidak perlu membawa makanan

Perjalanan dari jeti Kuala Selangor ke Sky Mirror hanya membabitkan 30 minit bergantung pada ombak. Anda hanya berada di pulau itu selama kira-kira dua jam untuk merakam gambar. Jika membawa kanak-kanak kecil, mereka pasti akan leka bermain air cetek atau mengejar ketam dan siput kecil di atas dataran pulau. Jika anda ingin membawa makanan untuk si kecil, pastikan tidak membuang sampah merata-rata.

5. Ikut masa ditetapkan

Pastikan anda mengetahui jadual perjalanan dari jeti ke Pulau Cermin kerana bot perlu mengikut waktu air pasang surut.

6. Pakai selipar

Pengunjung perlu meredah air memandangkan bot berhenti di pantai. (Gambar Zona Suri)

Jangan pakai kasut bertumit, sepatu atau kasut sukan kerana apabila bot sampai ke pulau itu, pengunjung perlu terjun ke pantai dan berjalan kaki ke dataran.

7. Pakai losen pelindung selaran matahari

Memandangkan perjalanan ke Sky Mirror hanya pada waktu pagi sehingga 3 petang, anda mungkin berdepan dengan cuaca panas terik. Pastikan anda mengenakan losen selaran matahari. Sebaik-baiknya pakai topi dan cermin mata hitam.

8. Tidak perlu membawa kamera canggih

Jurugambar terlatih merakam detik istimewa pengunjung. (Gambar Zona Suri)

Setiap agensi pelancongan akan menyediakan jurugambar professional atau terlatih yang akan membantu anda merakam gambar di Sky Mirror.

9. Buat tempahan awal

Sebaik-baiknya buat tempahan tiket awal kerana jika anda datang terus ke jeti, bimbang tiada kekosongan.

10. Pilih bot dengan ciri keselamatan

Perjalanan ke Sky Mirror mungkin akan menempuh ombak besar, justeru pastikan anda memilih bot yang mempunyai jaket keselamatan bermutu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *