Tuesday, November 5

4 cara mudah elak bibir merekah, menggelupas

Cuaca panas biasanya akan menyebabkan tekak haus dan badan mengalami kekurangan air, namun bagi individu yang berkerja di dalam ruang yang sejuk dengan pendingin hawa, mereka mungkin kurang mengalami rasa haus atau dahaga.

Apabila bibir sihat, senyum juga menawan – gambar hiasan. Foto kredit: Brillio.net.

Bagaimanapun, sama ada haus atau tidak, badan memerlukan air yang cukup agar keseluruhan organ di dalam tubuh dapat berfungsi dengan baik sekali gus mengelakkan kita jatuh sakit.

Mungkin ramai menganggap bibir mengelupas adalah perkara biasa dan tidak perlu diberi perhatian atau difikirkan dengan lebih mendalam kenapa keadaan itu berlaku, lantas tangan juga laju menarik kuping yang ada pada bibir.

Jangan kerana memikirkan kuping itu tidak akan membawa masalah, anda silap kerana apabila ditarik, kuping mungkin boleh menyebabkan kulit bibir berdarah dan menimbulkan kerengsaan. Lebih memburukkan keadaan jika darah lambat berhenti dan jari atau tangan mungkin ada bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada luka di bibir.

Badan mungkin kekurangan air apabila bibir sering berdarah dan merekah – gambar hiasan. Foto kredit: klikdokter.com

Zona Suri kongsikan empat panduan asas mengelakkan bibir kering dan menggelupas:

1. Minum banyak air kosong

Air kosong adalah minuman terbaik untuk memastikan badan sentiasa dalam keadaan sihat. Apabila badan cukup air, kulit akan sentiasa lembap dan bibir tidak terkecuali menerima manfaat itu.

Selain itu, air kosong juga tidak mengandungi kolesterol mahupun lemak, jadi tidak perlu risau untuk minum dalam jumlah yang banyak setiap hari.

Gunakan salap bibir untuk melindungi bibir daripada kering dan menggelupas – gambar hiasan. Foto kredit: shopee.co.id

2. Gunakan salap bibir

Pastikan anda memilih salap bibir yang mengandungi bahan pelembap yang tinggi. Minyak jojoba misalnya baik untuk menangani bibir kering, oleh itu baca terlebih dahulu kandungan salap bibir yang ingin dibeli.

3. Pupur bibir untuk buang sel mati

Bibir juga mempunyai sel yang akan rosak jika tidak dijaga dengan baik. Sel mati pada bahagian kulit bibir boleh menyebabkan pelbagai masalah berlaku pada bibir.

Gunakan gula pasir dan sedikit madu untuk membuang sel mati pada bibir. Gosok perlahan, cuci bersih dan kemudian oleskan salap agar bibir terhindar daripada kekeringan.

4. Elak membasahkan bibir dengan lidah

Tindakan ini akan menyebabkan bibir lebih cepat kering. Selain itu air liur di dalam mulut juga mengandungi bakteria dan dikhuatiri bakteria berkenaan akan memberi tindak balas tidak baik jika terus berada pada bibir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *