Thursday, April 25

Didik si kecil cuba semua makanan sejak awal

Kanak-kanak lazim bersikap memilih dalam pengambilan makanan seharian menyebabkan ada ibu pening kepala memikirkan apakah lagi makanan yang boleh mereka sediakan untuk memastikan anak makan.

Lebih menyukarkan keadaan, ada kanak-kanak yang hanya bergantung kepada susu semata-mata dan mereka juga cepat tertarik dengan makanan ringan yang tidak mengandungi khasiat.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu memikirkan sesuatu bagi memastikan anak mendapat cukup khasiat demi keperluan tumbesaran yang sempurna dan sesuai dengan keperluan mereka.

Eina mengambil pendekatan mudah membenarkan anak-anak mencuba makanan yang mereka kehendaki. Foto kredit: Instagran @eina_azman

Bagi pelakon tinggi lampai yang juga duta Maggi Cukup Rasa, Datin Paduka Eina Azman, memiliki dua anak kembar adalah sesautu yang mengembirakan, namun kedua-duanya memberikan cabaran yang tersendiri kepada beliau.

“Saya benarkan mereka mencuba sesuatu yang baru dan tengok apa yang mereka suka. Macam anak-anak saya mereka tak suka makan nasi dan saya juga tak mahu mereka hanya makan makanan Western sahaja.

“Apa yang saya lakukan ialah mendidik mereka sejak kecil dengan penyesuaian ‘try and error’ supaya kedua-duanya mendapat cukup keperluan asas untuk membesar,” katanya ketika ditemui di Kuang, baru-baru ini.

Eina dan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah, memberi galakan dua kembar mereka menikmati semua makanan yang mereka mahu. Foto kredit: Instagram @eina_azman.

Eina yang juga diketahui umum handal memasak turut berkongsi pengalaman bagaimana mendorong anak-anaknya untuk gemar makan sayur memandangkan sayur-sayuran hijau sering dianggap musuh oleh kanak-kanak.

“Kita tahu kanak-kanak memang tak suka makan sayur, tapi saya sudah ajar mereka untuk makan sayur sejak kecil dan sekarang petai pun mereka boleh terima, boleh makan sebenarnya.

“Kalau tidak cuba beri, tak tahu. Bagi saya bila mereka boleh makan semua, kalau nak bawa mereka ikut serta ke luar negara atau bercuti, mudah untuk menguruskan makanan serta keperluan mereka,” katanya yang menyediakan sendiri makanan untuk keluarganya walaupun memiliki pembantu.

Ibu bapa juga boleh menjadi contoh kepada anak-anak dengan makan sayur ketika menghadapi juadah bersama anak-anak kerana apa yang dilakukan ibu bapa akan dianggap betul oleh anak-anak.

Begitu juga dengan buah, sentiasa sediakan buah yang siap dipotong di dalam peti ais supaya anak mudah mencapainya apabila mereka membuka peti ais dan tidak memilih makanan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *