Friday, December 13

Kebun tepi rumah bawa keceriaan

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk memanfaatkan masa dan bagi Rosnida Othman dan suami, Dr Mohd Azlan Mis, halaman sisi rumah adalah tempat terbaik untuk mereka bergabung tenaga mengisi masa dengan cara sihat.

Rak tanaman tersusun rapi di bahagian tepi rumah. Kredit Foto: Dr Azlan Mis.

Minat bercucuk tanam sejak muda, kedua-duanya sepakat menjadikan halaman tepi rumah sebagai kebun sayur mini atau taman bunga selain berbasikal setiap pagi sekiranya berkesempatan.

Rosnida memulakan hobi bercucuk-taam sejak lima tahun lalu. Kredit foto: Dr Azlan Mis.

Memulakan hobi menanam sejak lima tahun lalu, Rosnida hanya bermula dengan beberapa jenis pokok seperti sawi dan pak choy yang kesemuanya ditanam di dalam botol plastik yang dikitar semula.

“Setelah beberapa lama, saya dan suami memutuskan kami perlu mempelbagaikan spesies yang ditanam dan tidak terhad kepada sayur semata-mata. Ada pokok bunga juga dan kaktus atau apa sahaja jenis pokok yang dirasakan sesuai.

“Agak mencabar juga tapi saya seronok membuat pencarian maklumat sendiri menerusi laman sesawang terutama mengenai baja dan cara penjagaan pokok-pokok yang ditanaman,” kata Rosnida ketika ditemubual Zona Suri.

Sayur-sayuran dipetik terus daripada pasu untuk sajian mereka sekeluarga.

Katanya, banyak bahan sekeliling yang digunakan sebagai bekas untuk menanam dan sisa makanan harian daripada dapur sendiri juga dijadikan baja untuk mengelakkan pembaziran.

“Lebihan makanan terutama nasi boleh dijadikan baja jika tahu cara. Saya biasanya membuat pencarian di Google untuk mendapatkan maklumat mengenai baja dan  membeli biji benih di pasar raya.

“Perkara paling menggembirakan saya ialah apabila anak-anak sebut sayur mama rangup dan ada macam-macam jenis sayur setiap kali kami menikmati hidangan sekeluarga. Ada juga yang saya beri kepada jiran,” katanya.

Benar sekali kata-kata berbudi kepada tanah, tiada kekecewaan kerana hasilnya akan terserlah apabila tiba waktu ‘menuai.’

Hydrangea berbunga lebat di bahagian belakang rumah Rosnida dan Azlan.

Zona Suri kongsikan pemandangan sisi kediaman Rosnida dan Dr Azlan di Kajang, seolah-olah kebun dalam taman perumahan kerana rimbunan hijau terusun cantik di bahagian sisi rumah.

Menjenguk ke bahagian belakang, ada gugusan hydrangea sedang mengembang mekar, seronok rasanya melihat kuntuman ungu muda menceriakan pemandangan setiap hari.

Jom berkebun!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *