Sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-64 pada 31 Ogos lalu, saudagar emas Habib mengambil metafora rama-rama sebagai meraikan hari penuh makna negara ini.
Kempen menerusi metafora rama-rama dinamakan Keindahan Merdeka itu mencerminkan harapan untuk Malaysia mencapai sesuatu yang lebih baik di samping cabaran yang sedang ditempuhi sekarang iaitu pandemik Covid-19.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Sri Meer Habib, berkata pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada negara dan seharusnya membuatkan kita lebih menghargai erti ‘kemerdekaan.’
“Kita semua terpaksa berkurung di rumah untuk tempoh yang lama bagi mengawal penularan pandemik ini dan keadaan ini juga mengajar kita untuk bermuhasabah diri serta bangkit lebih kuat untuk mengharungi cabaran ini bersama.
“Selari dengan situasi pandemik yang sedang melanda kini, kitaran hidup si rama-rama menjadi simbolik kepada perjuangan rakyat Malaysia kerana proses kehidupan seekor rama-rama melalui pelbagai liku dan cabaran sepanjang lima fasa kedewasaan di dalam kepompongnya, sebelum ia terbentuk menjadi sebuah kejadian alam yang begitu indah,” katanya menerusi emel kepada Zonasuri.
HABIB adalah jenama barangan kemas yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan sejarah lebi 60 tahun dalam reka bentuk dan pembuatan barang kemas.
Selaras dengan kempen Keindahan Merdeka itu juga, HABIB membawa kelainan dan idea baharu dengan bekerjasama bersama pelukis tempatan yang serba berbakat, Najib Bamadhaj.
“Kolaborasi bersama Najib Bamadhaj adalah kerjasama kreatif bersinergi oleh kedua-dua pihak kerana seperti pelukis, HABIB mengetengahkan sudut kreatif menerusi rekaan barangan kemas yang unik, mempersonakan dan kekal abadi sepanjang zaman.
“Walaupun kita tidak berkesempatan meraikan Hari Merdeka, kami yakin kerjasama dengan Najib ini berupaya menyampaikan mesej bermakna, iaitu keutuhan rakyat Malaysia yang sentiasa bersatu untuk terus bangkit dan berjuang melawan pandemik ini.”
Katanya lagi, Najib mempunyai kreativiti dan keunikan yang tersendiri dalam menyampaikan makna sebuah kemerdekaan melalui karya-karya lukisan yang dihasilkannya.
Setiap karya dilakarkan Najib menerapkan elemen metafora dan penceritaan yang unik, bersesuaian dengan tema kempen Merdeka HABIB yang bertujuan menyampaikan mesej harapan Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.