Budaya minum kopi atau sarapan di kedai kopi (kopitiam) bukan asing di negara ini kerana situasi berkenaan telah lama berakar umbi dalam masyarakat di Malaysia.
Kopitiam juga menjadi lokasi yang menyatukan pelbagai bangsa menerusi pilihan makanan sarapan pagi seperti roti bakar, telur masak separuh, teh tarik mahupun kopi susu serta pelbagai jenis miuman lain.
Sehubungan itu, jenama dikenali ramai, dUCK mengambil senario budaya sarapan di kopitiam sebagai teras koleksi The Malaysia dUCK yang dilancarkan sempena Kemerdekaan Malaysia yang ke-66.
Pengasas bersama Kumpulan dUCk, Vivy Yusof berkata, The Malaysia dUCk adalah koleksi yang sangat istimewa kerana ada kaitan dengan hari bermakna bagi Malaysia.
“Sebagai penghormatan kepada negara tercinta, kita meraikan banyak perkara menerusi rekaan berinspirasikan kuih kepada bunga yang diilhamkan oleh wanita dalam filem P Ramlee dan lukisan ikonik oleh kartunis terkemuka negara, Datuk Lat.
“ dUCk melalui jalan dan laluan untuk mencari sesuatu yang unik di Malaysia dan tahun ini, kami meraikan kesederhanaan, kebiasaan dan kemesraan penduduk tempatan di kopitiam, di mana persahabatan terjalin dan rasa kemasyarakatan dipupuk,” katanya dalam satu kenyataan media.
Vivy turut menjelaskan koleksi The Malaysia dUCK pada masa sama mengingatkan beliau terhadap koleksi KL dUCk, koleksi pertama yang meletakkan dUCK pada kedudukan dicapai hari ini.
“Koleksi ini memberi tumpuan di Ipoh, di mana kami mengambil alih kafe, jadi kami berharap pelanggan akan menyertai kami dalam hal ini untuk bersama-sama mengalami dan merasai semangat kekitaan di negara tercinta, Malaysia,” katanya.
Berorientasikan lukisan tangan garis ke garis, rekaan koleksi ini juga mengaplikasikan teknik seni pointillism, menggunakan titik cat untuk membentuk imej pada kanvas.
Teknik etsa turut digunakan di mana imej terukir atau diukir pada plat logam dan kedua-dua teknik ini adalah serupa dengan apa yang kita dapati pada cawan kopitiam, karya seni pada wang kertas dan setem dari zaman Persekutuan Tanah Melayu. Keseluruhan koleksi itu mengambil masa selama 660 jam untuk disempurnakan.
Sehubungan itu, bersempena koleksi ini juga, dUCK mengambil alih Kafe Pekan Lama, Ipoh untuk memberi lebih pengalaman kepada penggemar dUCK sehingga 17 September ini.
Sementara itu, pada pertengahan Julai lalu, sempena filem Barbie The Movie, dUCK turut melancarkan koleksi kolaborasi BarbieTM The Movie x dUCk.