Wednesday, October 30

Puasa tidak memudaratkan penghidap Diabetis

Dua perkara paling digeruni penghidap kencing manis atau Diabetik Melitus (DM) ialah peningkatan paras gula dalam darah sekiranya terlebih mengambil makanan tinggi karbohidrat dan hipoglisemia yang akan dialami sekiranya kekurangan gula dalan badan.

Sehubungan itu, timbul kekeliruan bolehkah penghidap Diabetis berpuasa memandangkan mereka tidak boleh mengambil makanan dalam tempoh yang panjang yang mungkin boleh menyebabkan hipoglisemia dan bagaimana dengan pengambilan ubat yang boleh dilakukan sekiranya berpuasa?

Dietitian Kanan, Hospital Pantai Sungai Petani, Norhayati Samsuddin berkata, ada cara tertentu yang boleh dilakukan oleh pesakit Diabetis bagi memastikan mereka tidak akan mengalami dua gejala yang disebutkan di atas.

“Pesakit Diabetis perlu mengetahui berapa jumlah ubat yang mereka perlu ambil dan berapa dalam sehari ubat-ubatan berkenaan perlu diambil.

“Lazimnya mereka perlu mengambil dua sesi, iaitu sebelum makan dan sesudah makan serta sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu malam, dengan saranan daripada doktor yang merawat mereka,” katanya kepada Zonasuri.

Berikut adalah carta pengambilan ubat yang disarankan untuk pesakit Diabetis.

Cara pengambilan ubat-ubatan (tablet atau kapsul) dua kali setiap hari:

Bagi ubat-ubatan yang perlu diambil sebelum makan:

Dos 1- ambil ubat sewaktu berbuka dengan segelas air kosong, kemudian ambil makanan selepas setengah jam pengambilan ubat.

Dos 2 – ambil ubat setengah jam sebelum bersahur

Bagi ubat-ubatan yang perlu diambil selepas makan pula:

Dos 1- Ambil ubat selepas berbuka puasa

Dos 2 – Ambil ubat selepas bersahur sebelum masuk waktu Imsak

Norhayati berkata, berpuasa adalah selamat untuk pesakit yang menghidap kencing manis dengan syarat perlu mendapatkan nasihat daripada Pegawai Perubatan.

Pesakit juga disarankan untuk berjumpa dengan pegawai dietetik bagi mendapatkan nasihat yang lebih terperinci berkenaan pemakanan dan berpuasa.

Contoh menu semasa berpuasa bagi penghidap DM:

Waktu makan (berpuasa)Contoh menu
Berbuka puasa2 biji buah kurma @ 1 sajian buah + 1 keping kuih (kurang manis): contoh karipap kentang + 1 gelas susu rendah lemak  
Selepas solat maghrib2 – 3 senduk rata nasi / mee / bihun + 1 ketul ayam / 1 ekor ikan saiz sederhana/ daging / telur / tauhu + 1 cawan sayur berdaun hijau + 1- 2 gelas air kosong
Selepas tarawih / moreh (jika perlu)3 keping biskut mil penuh / 1- 2 keping roti mil penuh + 1 gelas susu rendah lemak / susu skim  
Sahur  2- 3 senduk rata nasi / mee / bihun + 1 ketul ayam / 1 ekor ikan saiz sederhana / daging / telur / tauhu + 1 cawan sayur berdaun hijau + 1- 2 gelas air kosong

Berikut adalah panduan tambahan untuk pengurusan diet dan diabetes ketika Ramadhan:

  • Jangan melambatkan waktu berbuka puasa
  • Jangan tinggal waktu sahur dan diisarankan untuk melewatkan pengambilan sahur, sebelum masuk waktu imsak.
  • Pengambilan air kosong secukupnya bermula dari berbuka puasa sehingga tamat waktu sahur untuk kekal hidrasi sepanjang berpuasa
  • Pengambilan hidangan yang seimbang dengan sukatan dan jumlah pertukaran karbohidrat yang disarankan oleh pegawai dietetic.
  • Ambil snek sihat semasa moreh / selepas berterawih jika perlu.
  • Elakkan pengambilan hidangan manis dan masin melebihi had yang disarankan
  • Kawal pengambilan hidangan yang berminyak dan bergoreng semasa bersahur dan berbuka puasa. Contohnya, ayam goreng, kari ikan bersama santan, mee goreng
  • Ambil ubat-ubatan dan insulin seperti yang disarankan oleh pegawai perubatan.
  • Periksa aras gula dalam darah dua jam selepas berbuka puasa dan sebelum bersahur bagi memeriksa aras bacaan gula sama ada terkawal, terlalu rendah (hipoglisemia) atau tinggi (hiperglisemia).
  • Lakukan senaman ringan 30 minit sebelum waktu berbuka dan selepas solat Subuh bagi meningkatkan metabolisme

Bagi pesakit DM, sekiranya terdapat gejala aras gula dalam darah terlalu rendah atau hipoglisemia seperti:

  • Lemah, menggigil
  • Berpeluh
  • Pening
  • Lapar
  • Penglihatan kabur
  • Letih-lesu
  • Sakit kepala
  • Pucat
  • Aras gula dalam darah terlalu rendah atau hipoglisemia pada bila-bila masa semasa berpuasa (<3.9mmol/L)

Sekiranya mengalami gejala berkenaan, pesakit perlu segera berbuka puasa serta-merta

Pesakit juga perlu berbuka puasa secepat yang mungkin sekiranya mengalami gejala-gejala lain seperti:

  • Dehidrasi yang serius seperti pengsan atau keliru.
  • Sakit (demam, jangkitan kuman dan sebagainya)
  • Aras gula terlalu tinggi atau hiperglisemia

Sehubungan itu, puasa tidak akan memudaratkan sama sekali penghidap diabetis sekiranya individu tahu menguruskan cara mengambil ubat-ubatan dan apa yang perlu serta boleh dimakan ketika berpuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *