Saturday, November 23

Tremor menyerang dalam senyap

Tremor, masalah tangan, anggota badan bergetar atau bergerak di luar kawalan mungkin jarang didengar, namun situasi ini memang berlaku bagi sesetengah individu terutama dewasa.

Jangan abaikan jika tangan anda menggeletar tanpa dapat dikawal, anda mungkin mengalami tremor. (Gambar hiasan)

Pakar Bedah Am & Hepatobiliari Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Mohd Fahmey Sabudin berkata, Tremor merujuk kepada geletar, gegaran atau jenis gerakan tubuh yang bergetar dan tidak disengaja yang sering berlaku dalam kalangan warga emas.  

“Tremor biasanya berlaku pada tangan, kaki atau badan menggeletar, pergerakan perlahan, otot tegang, masalah postur badan, ketidakseimbangan tubuh, masalah percakapan dan menulis.

“Terdapat tiga jenis Tremor yang dikenal pasti dalam kerangka perubatan iaitu Tremor semasa rehat, Postural Tremors dan Tremor semasa bergerak,” katanya kepada Zonasuri menerusi emel.

Tremor semasa rehat (Resting tremors) berlaku kepada bahagian badan yang tidak bergerak dan disokong sepenuhnya melawan kesan graviti (contohnya semasa tangan direhatkan sepenuhnya di atas peha) dan contohnya ialah pesakit Parkinson.

“Manakala Postural tremors: berlaku semasa bahagian badan yang terlibat digerakkan ke kedudukan melawan graviti (contohnya semasa tangan dinaikan dan dikekalkan pada kedudukan paras bahu),” katanya.

Jenis Tremor yang ketiga ialah Tremor semasa bergerak (Action tremors) berlaku semasa bahagian badan terlibat dalam pergerakan terkawal (contohnya cerebellar tremor).

Dr Fahmey Sabudin

Dr Fahmey berkata, jika berlaku sebarang kerosakan kepada bahagian otak (contohnya serangan angin ahmar atau penyakit Parkinson) boleh menyebabkan berlakunya Tremor terhadap individu berkenaan.

“Kadang-kala tremor juga boleh disebabkan oleh penyakit keturunan. Pergerakan biasa seseorang yang normal dikawal oleh bahagian otak khas termasuk trek corticospinal (pyramidal), basal ganglia (extrapyrimidal system) dan cerebellum.

“Walau bagaimanapun, tidak semua tremor disebabkan oleh penyakit semata-mata kerana Tremor fisiologi (physiologic tremor) adalah tremor yang paling biasa berlaku di kalangan orang ramai yang tidak berpenyakit,” katanya.

Ia mungkin kelihatan lebih ketara dalam situasi tertentu contohnya semasa paras gula dalam badan rendah atau stres. Tremor ini dapat dikurangkan atau diatasi dengan rehat yang mencukupi.

Tremor akan menggangu aktiviti harian seperti kesukaran melakukan aktiviti motor halus contohnya memakai butang baju atau menulis, memandu, berjalan dan berlari.

Perlu diketahui stress juga boleh menjadi penyebab berlakunya Tremor fisiologi, iaitu merupakan tremor paling biasa dan lazim berlaku dalam kalangan orang ramai yang tidak berpenyakit.

Jangan abaikan jika tangan anda menggeletar tanpa dapat dikawal, anda mungkin mengalami tremor. (Gambar hiasan)

Diagnosis Tremor

Pesakit selalunya diminta untuk menerangkan situasi-situasi di mana tremor tersebut menjadi paling ketara. Ini dapat memberi sedikit  gambaran mengenai punca tremor tersebut. Contohnya tremor jenis postur mungkin lebih ketara semasa melakukan aktiviti tertentu seperti menulis.

Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan neurologi yang teliti. Beberapa ujian khas seperti CT scan otak atau ujian konduksi saraf juga mungkin dilakukan untuk menentukan jenis tremor yang mungkin ada pada pesakit.

Langkah susulan yang perlu diambil adalah terus mendapatkan bantuan ahli keluarga terdekat dan terus ke hospital untuk menjalani beberapa ujian dan tidak digalakkan memandu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *