ATLAS Vending mencipta sejarah menerusi kerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) memperkenalkan mesin layan diri Braille pertama di Malaysia.
Ketua Pemasaran & Perniagaan Sokongan ATLAS Vending, Amy Gan, berkata kerjasama dengan MAB membuahkan hasil selepas berbulan lamanya berganding bahu dengan pasukan berkenaan daripada fasa konsep hinggalah kepada pengujian prototaip dan pelancaran mesin yang sebenar.
“Pada setiap langkah, maklum balas serta cadangan daripada pasukan MAB dikaji dan diterima pakai bagi memastikan reka bentuk akhir mesin tersebut benar-benar dapat memberi kemudahan kepada pelanggan kelainan upaya penglihatan.
“Perincian seperti kelajuan suara arahan audio dan warna petunjuk bercahaya menjadi panduan penting bagi kami dalam membantu pasukan teknologi ATLAS Vending menambah baik reka bentuk fizikal dan ciri-ciri perisian dan inisiatif memperbaiki inklusiviti melalui usaha untuk terus meningkatkan akses dengan menggunakan teknologi adalah satu pencapaian penting bagi kami,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Zona Suri, baru-baru ini.
Program rintis Atlas Vending untuk menempatkan mesin layan diri yang menampilkan ciri-ciri bantuan tambahan bagi membolehkan akses oleh pelanggan kelainan upaya penglihatan seumpamanya ini menampilkan mesin layan diri yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai mesin layan diri Braille pertama di Malaysia.
Pengendali mesin layan diri makanan dan minuman terbesar di seluruh Malaysia dan Singapura itu juga menyasarkan untuk terus meningkatkan akses bagi golongan yang mempunyai keperluan khas untuk menambah baik pengalaman membeli mereka dengan menempatkan 11 mesin layan diri di sekitar stesen LRT, termasuk di Brickfields.
Bagi memudahkan akses, mesin layan diri tersebut dilengkapi dengan plat Braille, petunjuk bercahaya dan alat pengimbas gerakan yang akan mengaktifkan arahan audio secara automatik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas berkata, di MAB, satu daripada matlamat organisasi mereka ialah mendidik dan mewujudkan peluang yang saksama untuk orang kelainan upaya penglihatan, bagi membolehkan mereka menikmati kualiti hidup sama seperti orang lain.
“Kami gembira kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan ATLAS Vending dalam membangunkan teknologi bantuan tambahan untuk mesin layan diri ini.
“Ramai yang tidak menyedari bahawa tanpa teknologi yang direka bentuk secara khusus untuk golongan kelainan upaya penglihatan seperti ini, mereka terpaksa berdepan dengan halangan semasa melakukan aktiviti yang nampak mudah bagi orang biasa, seperti membeli minuman daripada mesin layan diri tanpa memerlukan bantuan.”
Eksekutif Aksesibiliti dan Advokasi MAB, Siti Huraizah Ruslan yang juga ahli jawatankuasa Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) mengulas, “Komuniti kelainan upaya penglihatan dan buta sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian. Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk mencari jalan agar kami dapat berdikari dan menjalani kehidupan normal sebaik mungkin.”