KUALA LUMPUR: Makan menggunakan tangan antara budaya masyarakat Timur khususnya di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand. Oleh itu, membasuh tangan terutama sebelum makan atau selepas mengguna tandas bukan sesuatu yang baharu dalam masyarakat di negara ini.
Ada juga sesetengah masyarakat yang ‘malas’ membasuh tangan sebelum makan kerana beranggapan tangan mereka agak bersih kerana tidak nampak kotoran yang nyata.
Bagaimanapun dalam keadaan ketika ini terutama ketika wabak COVID-19 masih lagi menjadi ancaman, membasuh tangan sama ada sebelum atau selepas makan wajib dijadikan norma baharu.
Sejak penularan wabak COVID-19 di kesan di Malaysia pada 23 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) sering menasihatkan orang ramai supaya kerap membasuh tangan mengguna air dan sabun sekurang-kurangnya selama 20 saat.
Selain pada waktu makan, orang ramai juga dinasihatkan supaya kerap membasuh tangan setiap masa bagi memastikan tangan yang mungkin dicemari bakteria tidak menyebabkan jangkitan kepada diri sendiri dan juga orang lain.
Sekiranya tidak mempunya tempat membasuh tangan, orang ramai dinasihatkan supaya mengguna cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) terutama jika kerap berada di tempat awam, lebih-lebih lagi pengguna pengangkutan awam.
Membasuh tangan dengan sabun dan air dapat menyingkirkan kuman serta mencegah pelbagai penyakit termasuk jangkitan COVID-19.
Bagi pekerja yang memakai sarung tangan terutama yang bekerja membabitkan orang ramai juga dinasihatkan kerap membasuh tangan.
Berikut adalah lima sebab mengapa anda wajib menjadikan amalan membasuh tangan sebagai kebiasaan baharu:
1. Tangan adalah bahagian anggota badan yang paling kerap menyentuh pelbagai permukaan dan tempat yang mempunyai kuman.
2. Kita kerap menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa sedar, justeru tangan yang tercemar boleh memindahkan kuman ke saluran pernafasan melalui mata, hidung dan mulut.
3. Selain jangkitan kepada diri sendiri, tangan yang dicemari juga boleh menyebabkan jangkitan kepada ahli keluarga terutama kanak-kanak.
4. Kebanyakan pesakit COVID-19 tidak bergejala, justeru membasuh tangan dapat mencegah dan menyebarkan jangkitan kepada orang lain kerana kuman daripada tangan yang tidak dibasuh boleh berpindah ke objek yang disentuh seperti tombol pintu, telefon bimbit serta duit.
5. Jika anda bukan pesakit COVID-19, anda juga boleh menjadi ejen yang menyebarkan COVID-19 apabila menyentuh barang yang sudah dicemari dan kemudian memegang barang lain atau bersalaman dengan orang lain.