Tuesday, April 23

Kerjasama unik Habib dan Upin Ipin sempena kempen Merdeka

Syiling emas 24K Habib dengan kolaborasi animasi terkenal, Upin dan Ipin. (Gambar Zona Suri)

PUTRAJAYA: Pengeluar barangan kemas tempatan, Habib, meneruskan inisiatif menyokong jenama tempatan menerusi kempen #SokongLokal apabila bekerjasama dengan watak animasi terkenal, Upin dan Ipin bersempena dengan sambutan Merdeka ini.

Menerusi kerjasama hebat itu, Habib melancarkan syiling emas 24K edisi terhad Upin dan Ipin seberat 0.2 gram yang dijual pada harga RM118.

Syiling emas  itu boleh didapati di semua cawangan Habib, selain orang ramai juga boleh berkunjung ke Pameran Merdeka Habib di Ruang Utama IOI City Mall Putrajaya dari 27 Ogos hingga 6 September 2020.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib, berkata kerjasama dengan Les’ Copaque Sdn Bhd (Les’ Copaque) itu bertujuan untuk merancakkan lagi kempen #SokongLokal, inisiatif Habib bagi menggalakkan pengguna untuk mengutamakan jenama tempatan.

“Upin dan Ipin adalah jenama tempatan bertaraf antarabangsa yang amat popular dalam kalangan keluarga di Malaysia dan negara di Asia Tenggara. Kerjasama julung kali dengan Upin dan Ipin adalah kerana produksi animasi tempatan itu mempunyai banyak persamaan dengan Habib.

“Kami berharap melalui gabungan ini dapat memberi impak positif kepada rakyat Malaysia dalam meyakini kebolehan anak tempatan untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan bertaraf dunia,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama Habib dengan Upin dan Ipin di Putrajaya, semalam.

Meer (kanan) dan Burhanuddin melancarkan syiling emas Habis edisi terhad Upin dan Ipin. (Gambar Zona Suri)

Majlis pelancaran kerjasama itu disempurnakan oleh Meer dan Pengarah Urusan Produksi Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi. Yang turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Habib, Datin Seri Zarida Noordin dan juga pengasas bersama Les’ Copaque, Ainon Ariff.

Menerusi Pameran Merdeka Habib itu, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan kemas bermutu yang direka pereka tempatan pada harga istimewa, malah ini waktu yang bersesuaian untuk melabur dalam barangan kemas kerana dijangka harga emas akan terus meningkat.

Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barang kemas Habib pada harga berpatutan sepanjang Pameran Merdeka di IOI City Mall, Putrajaya. (Gambar Zona Suri)

Sementara itu, Burhanuddin berkata, kerjasama dengan Habib itu bertepatan dengan waktunya bagi menggalakkan lebih ramai rakyat untuk menyokong jenama tempatan.

“Meskipun wabak COVID-19 ini menimbulkan masalah kepada sektor perniagaan, tetapi ada banyak juga hikmah di sebaliknya. Antaranya kita lihat semakin ramai rakyat yang menyokong jenama tempatan, terutama perniagaan atas talian.

“YouTube Les’ Copaque umpamanya terus menunjukkan prestasi membanggakan, misalnya video lagu Goyang Upin Ipin yang dilancarkan tiga minggu lalu kini sudah mencecah 31 juta tontonan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *