Thursday, April 25

Ketahui 5 cara makan enak tanpa garam

Berapa banyak garam terkandung dalam makanan sebegini? Foto: Zona Suri.

Memasak tanpa garam boleh diibaratkan seperti lagu tanpa irama kerana semuanya akan terasa tawar dan hambar, namun bagi individu yang berhadapan masalah hipertensi atau darah tinggi, mereka tentunya mampu untuk menikmati makanan tanpa garam bagi mengelakkan risiko yang lebih teruk terhadap penyakit dialami..

Tidak dinafikan garam agen penyedap dalam masakan atau makanan yang dimakan, namun sedarkah kita natijah daripada pengambilan garam berlebihan?

Bukan tidak boleh mengambil garam di dalam makanan yang dimakan setiap hari, namun kita perlu tahu jumlah yang sepatutnya boleh diambil bagi mengelakkan kesihatan terjejas oleh bahan yang masin itu.

Terdapat pelbagai jenis garam di pasaran seperti seperti garam bukit, garam halus, garam Himalaya dan garam masala.

Dr Siti Nurbaya (kanan) ketika melakukan aktiviti sihat bersama rakan-rakan. Foto: Ihsan Dr Siti Nurbaya Shahrir.

Dr Siti Nurbaya Shahrir daripada Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, berkata setiap garam yang ada di pasaran mempunyai peratusan garam atau Natrium Klorida (NaCl) yang berbeza.

“NaCl yang tinggi akan memberi kesan buruk pada kesihatan manusia. Jika kita hanya meletakkan sejemput tidaklah memberi kesan signifikan kepada kesihatan, namun ada yang menganggap sesetengah garam lebih sihat menyebabkan mereka mencampur banyak garam di dalam masakan.

“Akhirnya kandungan garam menjadi tinggi berbanding jika mereka menggunakan garam halus biasa,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Garam yang sepatutnya diambil oleh setiap individu adalah satu sudu kecil atau lima gram sehari.

Makanan atau masakan tanpa garam memang tidak sedap, namun ada banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang cukup enak dinikmati tanpa garam, malah penggunaan rempah-ratus juga boleh menyedapkan masakan walaupun tanpa garam.

Sebagai contoh, jika menyediakan masakan menggunakan cendawan, tidak perlu meletakkan garam lagi di dalam masakan berkenaan kerana cendawan sudah mempunyai rasa enak yang tersendiri.

Didik lidah supaya boleh menerima makanan tanpa garam keran secara amnya setiap jenis makanan sudah mempunyai rasa asal, tetapi ramai individu beranggapan makanan tidak sedap jika tidak dimasukkan garam.

Dr Nurbaya berkongsi lima panduan ringkas untuk melatih diri agar berupaya menikmati makanan tanpa garam berlebihan.

1. Lidah manusia boleh dilatih. Kurangkan pengambilan garam sedikit demi sedikit. Rasa dahulu makanan sebelum menambahkan kicap atau serbuk perasa lain.

2. Jika makanan cukup masin untuk dimakan, tidak perlu tambah kicap kerana kicap biasa atau kicap lemak manis juga tinggi kandungan sodium.

3. Kurangkan kuah apabila makan nasi. Lama-kelamaan lidah terlatih dengan sendiri tidak suka kepada makanan yang terlalu masin dan boleh menerima ikan, ayam, udang serta rempah-ratus tanpa garam.

4. Amalkan pengambilan makanan dinamakan pinggan sihat Malaysia seperti suku suku separuh.

5. Makan makanan segar, elakkan mengambil makanan di dalam tin, makanan segera atau makanan ringan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *