Wednesday, April 24

Taman tema Upin Ipin dibuka di Johor pada 2022

Meer (kanan) dan Burhanuddin ketika majlis pelancaran syiling emas Habis edisi terhad Upin dan Ipin. (Gambar Zona Suri)

PUTRAJAYA: Impian untuk melihat taman tema yang diinspirasikan daripada dua watak kartun paling popular di Malaysia, Upin dan Ipin bakal direaliasikan apabila dijangka siap pada 2022.

Apabila siap kelak, orang ramai berpeluang untuk membawa anak-anak menikmati pelbagai permainan menyeronokkan dengan berilhamkan watak-watak dalam siri animasi popular itu.

Pengarah Urusan Produksi Les’ Copaque Sdn Bhd (Les’ Copaque), Burhanuddin Md Radzi, berkata Taman Tema Upin Ipin yang bakal dibuka di Johor Bahru itu kini dalam proses rundingan dengan pelbagai pihak.

“Saya belum boleh dedahkan butiran lanjut kerana kami masih dalam proses perbincangan, namun insya-Allah taman tema yang dirancang sejak sekian lama ini akan mula beroperasi pada 2022.

“Kami memilih untuk membuka taman tema Upin Ipin ini di Johor kerana kebetulan ada peluang dan perancangan ini diharap membuka laluan untuk menjadikan taman tema ini seperti Disneyland,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama Habib dengan Upin dan Ipin di Putrajaya, semalam.

Majlis pelancaran kerjasama itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib bersama-sama Burhanuddin. Yang turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Habib, Datin Seri Zarida Noordin dan juga pengasas bersama Les’ Copaque, Ainon Ariff.

Kerjasama dengan Les’ Copaque itu bertujuan untuk merancakkan lagi kempen #SokongLokal, inisiatif Habib bagi menggalakkan pengguna untuk mengutamakan jenama tempatan.

Selain watak kembar Upin dan Ipin, taman tema berkenaan dijangka dihiasi watak popular Mail, Ihsan, Fizi, Mei Mei, Jarjit, Opah, Tok Dalang dan Kak Ros.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *