Thursday, April 25

Daging salai masak lemak cili padi undang selera makan

Masakan Negeri Sembilan atau disebut Nismilan sentiasa mengingatkan kita kepada kepedasan yang boleh membuatkan telinga berdesing kerana terlalu pedas, namun semakin pedas semakin sedap pula rasanya.

Daging salai masak lemak cili padi boleh membuatkan selera bertambah. Foto: Zona Suri.

Benarlah kata sesetengah individu ‘pedas’ sentiasa mengundang selera makan sehingga kadang kala terlupa sudah dua kali nasi ditambah ke dalam pinggan.

Paling menarik perhatian mengenai masakan Nismilan ialah bawang bukan bahan utama jika ingin menyediakan menu daging salai masak lemak cili padi dan ada juga yang memilih menggunakan ikan keli salai.

Hakikatnya, walaupun tiada bawang dan hanya memerlukan empat bahan utama, iaitu santan, serai, cili padi dan kunyit, menu berkenaan tetap berjaya menawan selera, malah sentiasa mampu membuatkan sesiapa sahaja makan bertambah.

Afizah (kanan) juga gemar menanam pelbagai jenis pokok untuk mengisi lapang. Foto: Zona Suri.

Bagi Afizah Alwi, dari Beting, Kuala Pilah, masakan Nismilan sentiasa dekat di hati dan beliau tidak pernah jemu menyediakan menu daging salai masak lemak cili padi kepada sesiapa sahaja yang datang berkunjung ke rumahnya.

“Saya sentiasa seronok menjamu tetamu atau sahabat handai dengan menu ini yang juga menjadi menu pengenalan kepada orang Negeri Sembilan. Cuma jika masak daging salai, jangan terlalu pedas kerana boleh menghilangkan rasa daging yang sudah sedia enak itu.

“Bagi yang tidak boleh tahan dengan makanan pedas, kurangkan atau jangan masukkan langsung cili padi ke dalam masakan,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau, baru-baru ini.

Antara bahan utama untuk menyediakan masak lemak cili padi iaitu serai, asam Gelugur dan cili padi. Foto: Zona Suri.

Afizah yang juga kakitangan Pejabat Pendidikan daerah Kuala Pilah berkata, selain daging salai sebagai bahan utama, belimbing buluh, pucuk ubi, pucuk paku, rebung, kentang, nangka muda, cendawan kukur, mangga atau terung  juga enak dimasukkan ke dalam menu masak lemak cili api.

“Saya sendiri gemar menggunakan pucuk ubi jika mahu menyediakan masakan daging salai masak lemak cili padi. Kunyit hidup juga elok digunakan kerana kunyit membangkitkan aroma masakan.

“Bagaimana, untuk mengelakkan daging salai keras, masukkan asam keping paling akhir dan biarkan selama kira-kira satu minit sebelum memadakan api dapur. Masukkan terus pucuk ubi supaya masak bersama daging salai, rasanya lebih sedap,” katanya yang turut menjual daging salai disediakan ibunya.

Pucuk ubi enak dimasukkan ke dalam masakan daging salai masak lemak cili padi. Foto: Zona Suri.

Afizah sudi berkongsi cara mudah menyediakan daging salai masak lemak cili padi dengan pembaca Zona Suri.

Daging salai masak lemak cili padi.

Bahan-bahan:

250gm daging salai

500ml santan

2 inci kunyit hidup

3 batang serai

3 keping asam Jawa

1 genggam cili padi

1 ikat pucuk ubi

Terung atau belimbing besi jika mahu

Cara penyediaan:

  1. Celur pucuk ubi hingga empuk. Tos dan ketepikan.
  2. Rebus daging salai dengan sedikit air. Biarkan ia mendidih dan hanya tinggal sedikit air sahaja.
  3. Kisar cili padi dan kunyit hidup, masukkan ke dalam santan yang sudah dituang ke dalam periuk. Campurkan sekali kunyit serbuk.
  4. Masukkan pucuk ubi yang sudah ditos dan diikuti daging salai.
  5. Nyalakan api dan biarkan santan mendidih perlahan. Kacau perlahan-lahan untuk mengelakkan santan pecah teksturnya.
  6. Apabila pucuk ubi sudah lembut dan santan sudah masak, masukkan gula dan garam secukup rasa.
  7. Letak asam keping dan biarkan mendidih selama satu minit sebelum api dipadamkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *