Thursday, December 12

Gadis Sarawak dinobat Ratu Malaysia Universe 2020

KUALA LUMPUR: Kecantikan semula jadi, selain kepetahan dalam memberikan jawapan memberi kelebihan kepada gadis kelahiran Sarawak, Francisca Luhong apabila dinobatkan Ratu Malaysia Universe 2020 dalam majlis berprestij yang diadakan secara dalam talian, sebentar tadi.

Dalam sesi soal jawab pada peringkat separuh akhir yang menyaksikan 11 peserta terpilih, gadis tinggi lampai itu antara segelintir peserta yang memberikan jawapan terbaik.

Ketika menjawab soalan juri mengenai bagaimana cara untuk membantu golongan miskin, Francisca berkata, masyarakat perlu memahami golongan berkenaan bagi membolehkan bantuan bersesuaian diberikan.

“Cara terbaik bagi membantu golongan miskin adalah dengan memahami dan bersedia untuk mendengar permasalahan mereka. Bukan hanya membantu dengan memberi barangan atau wang ringgit, sebaliknya dengan memahami mereka barulah kita dapat membantu golongan berkenaan dengan lebih baik,” katanya pada pertandingan anjuran Pertubuhan Ratu Malaysia Universe (MUMO).

Francisca di samping Elaine Daly ketika diumumkan penerima Anugerah Gaun Petang Terbaik. (Kredit gambar MUMO)

Fransisca turut memenangi dua anugerah sampingan iaitu Gaun Petang Tercantik dan Miss Auto Bavaria Elegance. Pada pertandingan itu, beliau mengenakan gaun merah jambu rekaan Rizman Ruzaini yang diilhamkan daripada keinginannya untuk membawa suara wanita.

Pemenang kedua Ratu Malaysia Universe 2020 ialah Charissa Chong yang turut memberikan jawapan bermutu dan bersahaja. Sebagai antara peserta kegemaran ramai, kejayaannya sebagai dua peserta akhir sudah dijangka sejak awal.

Pemenang ketiga diberikan kepada Serene Chai, manakala tempat keempat dimenangi peserta tinggi lampai, Neha Vernam yang juga antara peserta kegemaran ramai berikutan kejelitaan dan ketinggian yang dimiliki.

Francisca (dua dari kiri) bersama Neha (kanan), Charissa (dua dari kanan) dan Serene (kiri). (Kredit gambar MUMO)

Pada sidang media yang diadakan sejurus majlis pemahkotaan Ratu Malaysia Universe 2020, Francisca melahirkan kesyukuran apabila diumumkan selaku pemenang tahun ini.

“Saya pernah menyertai beberapa pertandingan ratu cantik sebelum ini, tetapi untuk memenangi gelaran berprestij ini adalah sesuatu yang sukar dipercayai.

“Sebagai peserta yang berbeza daripada peserta lain, saya akan membawa budaya saya untuk ke pentas antarabangsa, selain ingin memastikan dapat meneruskan agenda pemerkasaan wanita yang menjadi projek saya,” katanya.

Elaine Daly (dua dari kiri) bergambar bersama-sama empat pemenang utama. (Kredit gambar MUMO)

Sementara itu, Pengarah Kebangsaan Ratu Malaysia Universe, Datin Elaine Daly, berkata pertandingan Ratu Malaysia Universe 2020 berjaya mencapai matlamat meskipun diadakan di auditorium berbanding kebiasaan di dewan hotel.

“Saya bersyukur majlis ini dapat dianjurkan meskipun dalam serba kesederhanaan berikutan negara masih dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), malah kami mengadakan majlis secara dalam talian dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Tahniah kepada semua peserta kerana mereka sudah melakukan yang terbaik. Kepada pemenang, ingatlah ini adalah satu perjalanan yang panjang dan kerja keras, anda perlu berusaha,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Ratu Universe 2020, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pertandingan itu akan diadakan pada suku pertama 2021 dan akan memastikan wakil Malaysia melakukan persediaan rapi menjelang peringkat akhir.

Kali terakhir wakil Malaysia layak ke separuh akhir adalah pada 1970 apabila Ratu Malaysia, Josephine Lena Wong diumumkan antara 10 peserta terbaik.

Anugerah Sampingan:

Miss Congeniality – Celine Foo

Miss Online Personality – Neha Verma

Miss Body Beautiful – Louisa Ananthan

Miss Habib – Neha Verma

Gaun Petang Tercantik – Fransisca Luhong

Miss La Jung Youthful Forever – Serene Chai

Miss Dermalogica Healthy Skin – Pritha Manivannan

Miss Glojas Beautiful – Pritha Manivannan

Miss Shawn Cutler Hair Award – Rindsay Laige

Miss Auto Bavaria Elegance – Fransisca Luhong

Miss Strip Body Confidence – Charissa Chong

Miss Skinz Sanctuary Flawless Skin – Serene Chai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *