Friday, April 26

Maena Water Chalet tawar pengalaman berbeza kepada pengunjung

Setiap individu mempunyai citarasa tersendiri lebih-lebih lagi dalam urusan percutian kerana ada yang menggemari suasana ibu kota yang sentiasa ‘hidup’ dan mungkin ada juga yang memilih elemen pantai.

Bagi yang memilih bercuti di tepi pantai, tentunya deru ombak atau bunyi air berkocak menjadi halwa telinga, malah bagi kaki pancing mungkin itulah destinasi terbaik mereka kerana selain memancing, dapat juga menghabiskan masa berkualiti bersama-sama keluarga.

Maena Water Chalet menawarkan pengalaman percutian yang menarik kepada individu yang gemar suasana laut. Kredit gambar: Maena Water Chalet.

Maena Water Chalet di Tumpat, Kelantan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka yang gemar dengan suasana laut kerana chalet terapung itu dibina dengan teratur di atas permukaan air dan sebahagian lagi di daratan.

Zainon (kanan) melayan pelanggan menikmati makan malam di Maena Water Chalet. Kredit gambar: Maena Water Chalet.

Pengasas chalet terapung berkenaan, Zainon Daud, berkata beliau dan suami, Md Jamil Said, sepakat mendirikan chalet terapung kerana ingin memberi pilihan kepada individu yang gemar pada suasana laut atau pantai.

“Chalet terapung ini mempunyai keluasan sederhana, ada lebih 10 unit dan cukup untuk satu keluarga sederhana besar dan lengkap dengan kemudahan untuk memasak.

“Sekiranya pengunjung memilih untuk menyediakan sendiri makanan sepanjang bercuti di chalet ini, mereka boleh membeli bahan basah di pasar Tumpat atau mana-mana kedai berhampiran yang menjual hasil laut,” katanya ketika dihubungi Zona Suri, baru-baru ini.

Zainon (kiri) dan Md Jami (kanan) bersama pelanggan yang bercuti di Maena Water Chalet. Kredit gambar: Maena Water Chalet.

Chalet terapung atau chalet atas air bukan asing di Kelantan, terutama Tumpat kerana selain terkenal sebagai perkampungan nelayan, Tumpat juga menyediakan banyak lokasi menarik untuk dilawati.

Pasar besar Tumpat terutama menawarkan pelbagai jenis hasil tangkapan laut yang segar dan berpatutan kerana ia dinaikkan oleh nelayan setempat dan selain dijual kepada peraih ikan, ada juga yang dibawa untuk dijual di pasar itu.

Zainon berkata, kemudahan lain disediakan Maena Water Chalet ialah perkhidmatan bot untuk mengunjungi pulau berdekatan yang tentunya boleh dilakukan sebagai kegiatan kekeluargaan yang menyeronokkan.

“Jika tidak minat memancing, boleh sahaja bawa keluarga ke pasar bebas cukai Pengkalan Kubur, melawat kilang memproses budu, melihat jeti nelayan persendirian atau mengunjungi Pantai Sri Tujuh.

“Banyak aktiviti boleh dilakukan dan Pantai Sri Tujuh yang terkenal sebagai lokasi festival wau antarabangsa suatu ketika dahulu masih dibuka kepada awam dan ramai peniaga makanan laut masih berniaga di situ,” katanya.

Maena Water Chalet juga menyediakan ruang untuk pengunjung yang memilih untuk makan bersila di atas tikar. Kredit gambar: Maena Water Chalet.

Selain itu, jika ada anak-anak yang mahu bermandi-manda di kolam, Maena Water Chalet turut menyediakan kolam untuk keperluan berkenaan.

Tunggu apa lagi, jom bercuti di atas air, pasti menarik pengalaman yang bakal diperoleh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *