Kuala Lumpur: Epal merah atau hijau sering menjadi pilihan ramai untuk dijadikan kudap-kudapan bagi mereka yang mengamalkan pemakanan sihat atau dalam erti kata lain epal bagus untuk menurunkan berat badan.
Bahkan epal hijau terutama sudah sebati dengan ungkapan pengambilan sebiji epal hijau setiap hari boleh menjauhkan anda daripada sebarang serangan penyakit sekali gus tidak perlu berjumpa doktor.
Epal Pink Lady atau Lenswood Pink Lady daripada Australia juga tidak kurang hebat kerana memiliki tekstur rangup dan tahap kemanisan yang sangat berpadanan dengan nilai sebiji epal yang enak.
Pengarah Eksekutif The Model Cook (TMC), Viviaen Lee, berkata TMC sentiasa berusaha untuk membantu sesiapa sahaja memperoleh makanan yang sihat pada harga berpatutan dengan nilai makanan.
“TMC komited menolong anda makan makanan sihat dengan menawarkan makanan asas bebas GMO dan berpatutan dengan nilai wang dibelanjakan terhadap barangan makanan itu.
“Epal Lenswood Pink Lady ini contohnya adalah buah yang sihat dan memiliki rasa yang hebat, oleh itu epal Pink Lady ini adalah sebahagian daripada makanan yang sihat dalam kategori buah-buahan,” katanya dalam satu kenyataan media sempena Tasty Australia 2020, kepada Zona Suri, baru-baru ini.
Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran Isetan Jepun Sdn Bhd, Then kok Seong.
Epal Lenswood Pink Lady ditanam di perbukitan Adelaide, Selatan Australia sekitar 1860-an hasil daripada kacukan Golden Delicious dan Lady William dilakukan John Cripps.
Epal itu juga mempunyai keistimewaan pada teksturnya yang rangup dan bersari serta menimbulkan rasa manis pada hujung kunyahan.
Zona Suri kongsikan resipi resipi Salad Salmon & Epal Lenswood Pink Lady oleh Cef Selebriti Daniel Green.
Bahan-bahan:
1 ketul salmon sederhana besar dipotong kepada empat bahagian
6 cawan salad Lettuce campuran
1 biji epal pink Lady dihiris nipis
Untuk sos:
80ml minyak zaitun
40ml cuka balsamik
1 sudu makan Dijon mustard.
Cara penyediaan:
- Selar isi salmon di atas kuali tidak melekat tanpa minyak dengan sedikit garam dan lada hitam. Lakukan kira-kira 2 hingga 3 minit untuk kedua-dua bahagian.
- Angkat dan biarkan salmon sejuk seketika.
- Gaul salad campuran tadi dalam satu mangkuk besar dan renjis bahan sos ke dalamnya.
- Masukkan salmon dan sedia untuk dimakan.