Friday, March 29

Program realiti Keeping Up with the Kardashians berakhir

KUALA LUMPUR: Program realiti Keeping Up with the Kardashians yang menjadi antara perintis program televisyen mengenai kisah hidup sebenar individu atau selebriti untuk tatapan penonton, menutup tirai selepas bersiaran selama 20 musim.

Sejak dilancarkan 14 tahun lalu, program berkenaan bukan sahaja menjadikan adik beradik Kardhasian, Kimberly (Kim), Kourtney dan Khloe serta adik beradik tiri mereka, Kendall Jenner dan Kylie Jenner selebriti terkenal, tetapi juga membantu mereka membina kekayaan.

Kelima-lima selebriti itu mengumumkan penamatan program menerusi laman media sosial mereka, sebentar tadi.

Dalam kenyataan media itu, Kim mengucapkan penghargaan kepada peminat mereka yang sentiasa menyokong program berkenaan yang menyaksikan perjalanan hidup mereka dari usia muda sehingga mempunyai anak.

Kim turut melahirkan penghargaan kepada pihak yang banyak membantu mereka terutama pengacara terkenal Ryan Seacrest yang juga Penerbit Eksekutif program Keeping Up with the Kardashians dan program berita hiburan nombor satu Hollywood, E!

“Terima kasih kepada ribuan individu dan syarikat perniagaan yang menjadi sebahagian daripada pengalaman kami ini dan paling penting, ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Ryan Seacrest yang mempercayai kami.

“Terima kasih juga kepada E! yang menjadi rakan kongsi dan pasukan produksi  Bunim/Murray yang meluangkan masa untuk merakam kehidupan kami sejak sekian lama,” katanya.

Beliau dan ahli keluarganya turut berharap peminat mereka akan terus menyokong program terakhir Keeping Up With The Kardashians yang akan disiarkan awal 2021.

Kim berkongsi gambar adik-beradiknya ketika program Keeping Up with the Kardashians bermula. (Kredit gambar Instagram @kimkardashian)

Jenama Kardashian yang bersandarkan kejelitaan adik beradik Kardashian dan Jenner itu membantu mereka menerbitkan beberapa program televisyen sampingan bersandarkan populariti mereka, malah menghasilkan pelbagai produk seperti rangkaian baju, produk kecantikan dan produk kesejahteraan hidup yang menambah kekayaan mereka.

Kim yang sebelum ini melancarkan rangkaian produk kecantikannya KKM West Beauty dan produk korset Skims, kini bakal mengorak langkah dengan memperkenalkan produk kegunaan rumah seperti tuala mandian, tekstil untuk perabot rumah, produk mandian dan banyak lagi.

Menerusi laporan Harper’s Bazaar, dianggarkan sehingga Jun 2020, wanita berusia 39 tahun itu berjaya mengumpul harta bernilai RM3.75 bilion (USD900 juta) yang bersandarkan kepada bayaran menerusi program Keeping Up with the Kardashians, program televisyen sampingannya dan produk jenamanya.

Adik beradik Kardashian dan adik tiri mereka menjadi popular di seluruh dunia. (Kredit gambar Instagram @khloekardashian)

Kim juga mencatat sejarah apabila tersenarai antara 10 selebriti yang mempunyai pengikut Instagram tertinggi di dunia dan sehingga kini mengumpul lebih 188 juta pengikut.

Adiknya, Khloe yang membina jenama daripada program The Body Revenge bagi membantu peminatnya mendapatkan bentuk badan idaman dianggarkan mem;punyai harta bernilai RM167.04 juta (USD40 juta).

Program yang dilancarkan daripada kejayaan Khloe yang sebelum ini dikenali sebagai si gemuk Kardashian itu mengilhamkan pelbagai produk untuk mereka yang berbadan gempal seperti denim Good American dan perkhidmatan menurunkan berat badan.

Kakak mereka, Kourtney pula dianggarkan bernilai RM146.16 juta (USD35 juta) menerusi bayaran daripada program berkenaan dan juga pelancaran produk gaya hidupnya serta laman e-dagang, Poosh.

Bagaimanapun, adik tiri mereka, Kendall dan Kylie dikatakan lebih berjaya membina kekayaan daripada jenama program televisyen itu.

Kylie yang juga antara 10 individu yang mempunyai pengikut Instagram tertinggi dengan 195 juta pengikut, dilaporkan jutawan termuda berjaya mengumpul harta bernilai USD1 bilion (RM4.17 bilion) menerusi empayar produk kosmetiknya, Kylie Cosmetics.

Kendall pula dikatakan mempunyai harta bernilai RM187 juta (USD 45 juta) menerusi bayaran bagi program Keeping Up with the Kardashians, selain pembabitan dalam pelbagai iklan berikutan statusnya sebagai antara supermodel popular.

Ini tidak menghairankan kerana Forbes melaporkan Kendall pernah dinobatkan sebagai peragawati yang menerima bayaran tertinggi pada 2017 dan 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *