Friday, April 19

Resipi butter chicken paling mudah dan enak

KUALA LUMPUR: Butter chicken dikatakan berasal daripada hidangan Barat kerana menggunakan susu cair dalam penyediaannya, tetapi disesuaikan dengan cita rasa tempatan dengan tambahan daun kari dan sayur-sayuran seperti lobak merah serta brokoli.

Hidangan ini enak dimakan begitu sahaja, tetapi jika dinikmati dengan nasi panas rasanya lebih sedap dan meningkatkan selera.

Ramai yang mengatakan sukar untuk menyediakan butter chicken, namun sebenarnya hidangan itu amat mudah untuk dimasak.

Butter chicken hanya memerlukan beberapa bahan yang sememangnya sudah ada di dapur kebanyakan rumah, namun jangan lupa daun kari kerana bahan utama inilah yang menyedapkan rasa butter chicken.

Butter chicken juga sebahagian daripada lauk bagi hidangan shell out. Rasanya manis berlemak ditambah dengan lauk kari menjadikan shell out pilihan ramai hari ini, namun ramai yang mengatakan shell out lebih sedap jika jurumasak pandai menyediakan butter chicken.

Ada yang menggemari hidangan butter chicken sedikit pedas kerana dikatakan lebih menyelerakan, namun jika ingin dihidangkan untuk si kecil memadai dengan resipi asas.

Sebenarnya, resipi asas juga mungkin ada sedikit rasa pedas yang dirasai daripada daun kari, justeru anda boleh meningkatkan tahap kepedasan dengan memasukkan lebih banyak daun kari.

Tetapi, ada juga sesetengah restoran memasukkan cili padi yang dihiris halus bagi memberikan rasa pedas yang digemari kebanyakan rakyat Malaysia.

Berikut disediakan resipi mudah menyediakan butter chicken, namun anda boleh menambah jumlah daun kari atau memasukkan cili padi sebagai penambah rasa.

Resipi butter chicken

Bahan-bahan untuk menggoreng ayam:

Ayam bahagian dada, dipotong dadu

3 sudu besar tepung gandum

1 biji telur / 1 sudu besar tepung jagung

1 sudu besar serbuk kari

Sedikit garam

Bahan-bahan untuk kuah:

1/2 tin susu cair

2-3 ulas bawang putih, diracik halus

1/2 biji bawang besar, potong dadu

4 sudu besar mentega

2 tangkai daun kari

1 kuib perisa ayam Maggi

1 biji cili padi, dihiris (boleh dibuang jika tidak mahu pedas)

Lobak merah, dipotong (jumlah ikut kesesuaian)

Brokoli (jumlah ikut kesesuaian)

Cara penyediaan:

1. Bersihkan isi ayam yang sudah dipotong dadu dengan iar dan toskan.

2. Masukkan serbuk kari dan garam, gaul hingga sebati.

3. Masukkan tepung gandung, tepung jagung (atau telur). Gaul supaya tepung menyaluti ayam. 

4. Perap selama kira-kira 30 minit, kemudian goreng ayam di dalam minyak panas sehingga garing. Angkat dan ketepikan.

5. Panaskan mentega sehingga cair dan tumis daun kari sehingga naik bau.

6. Masukkan bawang putih dan cili padi (jika mahu). Masukkan hirisan bawang besar.

7. Apabila bawang menjadi sedikit layu, masukkan susu cair dan masukkan kiub perisa ayam Maggi.

8. Masukkan lobak merah dan brokoli, kacau sebati dan akhir sekali masukkan ayam yang digoreng tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *