Friday, April 19

Datin Seri Zarida kongsi rahsia kekal cergas pada usia lewat 50-an

PUTRAJAYA: Kebanyakan wanita mulai memperlahankan aktiviti apabila menjelang usia 50-an, namun bagi Datin Seri Zarida Noordin yang cukup sinonim dengan jenama barang kemas terkenal, Habib, tiada istilah ‘berehat’ baginya.

Beliau sering tampil menemani suaminya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib, dalam pelbagai majlis atau promosi jenama tempatan itu yang melakar sejarah sebagai produk barangan kemas nombor satu Malaysia.

Beliau berkata, puluhan tahun terbabit dalam perniagaan barang kemas, sekalipun tidak pernah terdetik di hatinya untuk berasa bosan kerana keadaan industri berkenaan yang sentiasa mengalami perubahan setiap masa.

“Tiada masa untuk berehat kerana perniagaan ini bidang ini sentiasa mencabar, tetapi pada masa sama amat menyeronokkan. Saya yakin setiap wanita pasti menggemari barang kemas, itu sifat semula jadi wanita.

“Bagi saya yang sentiasa dikelilingi pelbagai jenis barang kemas, menjadi satu kepuasan apabila dapat melakukan sesuatu yang kita gemari,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama Habib dengan Upin dan Ipin di sini, baru-baru ini.

Zarida menganggap novasi dalam rekaan barangan kemas sentiasa mencabar, tetapi menyeronokkan. (Gambar Zona Suri)

Sejak mengenalinya lebih 20 tahun lalu, Zarida yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan Habib, sentiasa mesra dengan media dan bersedia melayani setiap tetamu yang hadir dalam majlis anjuran Habib.

Selain sikapnya yang ramah dan mesra, penampilan Zarida yang langsing dan awet muda menginjak usia 60 tahun membuatkan ramai ingin mengetahui rahsianya.

Beliau akui tidak pernah mengamalkan sebarang pengambilan makanan kesihatan untuk tujuan berkenaan, sebaliknya mengekalkan kecergasan dengan berjoging dua kali seminggu.

“Saya tiada rahsia yang pelik dan tidak mengamalkan makanan tertentu. Cuma dalam seminggu saya akan luangkan masa untuk berjoging dalam dua kali, selain senaman ringkas.

“Selain itu, saya tidak mengelakkan makanan tertentu hanya untuk kekal langsing, mungkin tuntutan kerja yang membuatkan saya kerap bergerak ke sana-sini menjadi satu ‘senaman’ bagi saya,” katanya tersenyum manis.

Tidak hairanlah kebanyakan pelanggan setia Habib yang mengenalinya sejak puluhan tahun lalu kagum dengan penampilannya yang kekal langsing dengan seraut wajah yang bersih tanpa masalah kulit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *