Friday, April 26

UUM bantu calon SPM di 5 sekolah menerusi Klinik SPM

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Klinik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khusus untuk lima sekolah di sekitar Kedah dan Perlis dengan kerjasama Kementerian Pelajaran (KPM) dan Zona Didik secara dalam talian, baru-baru ini.

Seramai 230 calon SPM daripada lima sekolah terpilih mengikuti Klinik SPM kendalian Zona Didik yang diadakan secara Google Meet selama dua hari bermula 4 Oktober 2020.

Pengetua SMK Pulau Nyior, Ku Azizan Ku Othman, berkata program amal UUM itu amat dialu-alukan kerana dapat membantu meningkatkan pencapaian calon SPM daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Pengetua SMK Syed Saffi, Ku Azizan turut hadir menyaksikan sesi pengajaran secara dalam talian dijalankan. (Gambar Samsudin Oli Mohamed)

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UUM kerana menganjurkan Klinik SPM ini dan memilih murid-murid di sekitar khususnya SMK Pulau Nyior daripada keluarga B40 untuk mengikuti klinik itu yang julung kali diadakan secara dalam talian ini.

“Sesi pembelajaran secara Google Meet ini adalah norma baharu dalam pendidikan berikutan pandemik COVID-19 yang dihadapi ketika ini ini. Murid tetap perlu belajar dan cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ini untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM kelak,” katanya dalam temu bual bersama-sama wakil Zona Didik, baru-baru ini.

Klinik SPM anjuran UUM itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial universiti pengurusan itu bagi membantu meningkatkan pencapaian murid dari sekolah di sekitar UUM.

Program yang berlangsung pada 4 dan 5 November 2020 itu membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahawangsa, Jitra; SMK Pulau Nyior, Jitra; SMK Mahsuri, Langkawi dan dua sekolah di Perlis iaitu SMK Syed Saffi dan SMK Syed Sirajuddin.

Sebahagian daripada peserta mengikuti sesi pembelajaran menggunakan komputer atau telefon bimbit, manakala sebahagian lebih mendapat manfaat daripada skrin yang dipancarkan dari projektor.

Antara pengisian program yang membabitkan empat subjek teras itu ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains merangkumi perkongsian teknik belajar secara berkesan serta cara mudah untuk memperoleh markah cemerlang menggunakan inovasi dihasilkan.

Penceramah terdiri daripada guru KPM yang menganalisis soalan SPM setiap tahun, selain menghasilkan pelbagai inovasi dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran. Sebahagian daripada teknik yang dibina itu mendapat pengiktirafan daripada KPM dan pihak antarabangsa apabila Berjaya memenangi pelbagai pertandingan.

Peserta yang mengikuti klinik peperiksaan anjuran Zona Didik juga menerima sijil dan modul untuk pembelajaran.

Sementara itu, calon SPM daripada SMK Syed Sirajuddin, Nur Safiah Shamsuddin memenangi RM100 dan kalkulator edisi terkini apabila komen beliau dalam Instagram Zona Didik dipilih selaku pemenang Peraduan Klinik SPM-UUM Zona Didik 2020.

Nur Afiah yang gembira apabila dimaklumkan berjaya memenangi peraduan itu melahirkan penghargaan kepada UUM yang memilih SMK Syed Sirajuddin sebagai antara sekolah untuk mengikuti Klinik SPM Zona Didik berkenaan secara percuma.

“Alhamdulillah, terima kasih atas hadiah yang diberikan ini. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak khususnya UUM dan pengurusan sekolah kerana memilih saya dan rakan-rakan daripada keluarhga B40 untuk menyertai program ini,” katanya.

Zona Didik akan mengadakan Klinik SPM membabitkan pelbagai subjek sepanjang Disember 2020 dan Januari 2021. Syarikat atau agensi yang ingin beramal dengan menaja calon SPM daripada keluarga kurang berkemampuan boleh menghubungi Alfy Legacy menerusi e-mel alfylegacy@gmail.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *