Sebagaimana kulit wajah yang menjadi keutamaan dalam penjagaan harian, gigi juga adalah antara perkara penting yang perlu dijaga.
Jangan fikir apabila melihat gigi tersusun cantik bak mutiara, ia bebas daripada sebarang masalah atau kerosakan.
Ini kerana bakteria yang ada di dalam mulut akan bertindak merosakkan tulang gigi seterusnya akan berlaku kerosakan yang lebih teruk terhadap gigi.
Keadaan itu boleh menyebabkan nafas berbau, gigi dan gusi juga akan terjejas teruk.
Doktor Nur Ayman Ab Haei dari klinik pergigian di Ampang, berkata ada banyak alat permbersih gigi yang boleh digunakan bagi mengelakkan kerosakan gigi.
“Kerosakan gigi berpunca daripada banyak sebab, sisa makanan yang tertinggal di celah gigi dan protein di dalam air liur juga adalah antara penyebab.
“Ada juga yang menganggap jika mereka tidak menjamah makanan, gigi tidak akan rosak dan mereka tidak akan menghadapi masalah gigi, fahaman ini perlu diperbetulkan kerana protein di dalam air liur mengandungi bakteria,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Protein di dalam air liur menjadi tempat bakteria hidup dan bakteria boleh menyebabkan plak atau karang gigi berlaku.
Sekiranya plak dibiarkan tanpa ada pencegahan, bakteria akan menyebabkan berlakunya keradangan sekali gus memberi kesan tidak baik terhadap tulang gigi. Bagi mengelakkan tulang gigi rosak, individu perlu memastikan tiada plak terjadi di antara celah gigi.
Dr Ayman berkata, berus interdental misalnya, berfungsi mencuci bahagian celah gigi yang sukar dibersihkan dengan berus gigi biasa.
“Berus interdental ada tiga saiz dan pengguna perlu tahu saiz apa yang sesuai dengan ruang di antara celah gigi. Jika menggunakan berus interdental yang tidak sesuai, ia akan menjejaskan gigi dan gusi juga.
“Berus interdental boleh mencuci celah gigi dan bahagian gigi yang tidak dapat dipersihkan sekiranya anda menggunakan berus biasa. Ada berus interdental yang boleh dilipat dan ia memudahkan pengguna untuk membersihkan bahagian celah gigi,” katanya.
Sehubugan itu, jika mahu gigi bersih dan bebas plak, mungkin kita perlu menyimpan satu berus interdental di rumah.