Wednesday, April 24

Kesihatan gigi kanak-kanak perlu diutamakan

Senario kanak-kanak bergigi rongak atau gigi rosak sering dianggap perkara biasa dalam masyarakat kita sejak berzaman, namun hakikatnya keadaan berkenaan perlu dipandang serius kerana boleh mendatangkan kesan tidak baik untuk kanak-kanak itu sendiri.

Penjagaan gigi kanak-kanak perlu diberi perhatian oleh ibu bapa. Kredit foto: Prof Madya Dr Nor Azlida Mohd Yusof (Sumber gambar: Murthy et al. 2013, Journal of Advanced Oral Research.)

Pensyarah Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Prof Zamros Yuzadi Mohd Yusof, berkata Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewujudkan program penjagaan gigi kanak-kanak di mana setiap tahun juruterapi pergigian akan melawat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah untuk menjalankan pemeriksaan gigi, rawatan preventif serta memberi ceramah kesihatan pergigian kepada murid-murid sekolah.

Gigi cantik tingkat keyakinan diri!
‘Aktiviti bersama ibu-bapa dalam program Senyuman Indah Milik Semua di Kampar, Perak. Kredit foto: Dr Nor Azlida Mohd Nor.

“Pada 2019, satu perkongsian pintar dinamakan ‘Program Senyuman Indah Milik Semua (SIMS)’ diperkenalkan di Kampar, Perak hasil kerjasama antara tiga pihak berkepentingan iaitu Klinik Pergigian Kampar, guru-guru prasekolah serta ibu bapa prasekolah di daerah Kampar yang terlibat secara aktif untuk meningkatkan tahap kesihatan gigi kanak-kanak prasekolah.

“Program berkenaan bercirikan tiga penjuru di mana juruterapi pergigian menjalankan pemeriksaan gigi berkala ke atas murid-murid, guru prasekolah memberi pengajaran kesihatan pergigian di dalam kelas dan ibubapa memantau pemakanan serta membantu anak-anak mereka memberus gigi di rumah,” katanya dalam temubual menerusi emel kepada Zonasuri.

Prof Zamros Yuzadi Mohd Yusof.

Katanya lagi, data penilaian yang dibuat selepas enam bulan menunjukan program SIMS berjaya mengurangkan pengambilan minuman bergas serta mengurangkan plak gigi dalam kalangan kanak-kanak serta meningkatkan pengetahuan pergigian dalam kalangan ibu bapa.

Hasil kejayaan program berkenaan diperluaskan  serta  diperkenalkan ke daerah lain serta diangkat menjadi program pergigian prasekolah di daerah Terengganu.     

Prof Zamros berkata, makanan yang boleh menjamin kesihatan gigi kanak-kanak ialah makanan yang berkhasiat dan seimbang yang mengandungi nutrien penting untuk pembentukan gigi  sihat dan sempurna seperti protein, kalsium, vitamin A, C dan D serta fosforus.

“Contoh makanan yang berkhasiat untuk kesihatan gigi ialah nasi, ikan, daging, ayam dan telur serta banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran serta pengambilan susu dan produk tenusu dalam sajian makanan harian.

“Kurangkan pegambilan makanan yang mengandungi gula tambahan (extrinsic sugars) yang ditambah dalam makanan dan minuman seperti biskut, coklat, kek, gula-gula, serta air manis yang bergas,” katanya.

Sebab utama gigi kanak-kanak rosak  

Sementara itu, pensyarah fakulti sama, Prof Madya Dr Nor Azlida Mohd Nor berkata, faktor utama yang menyebabkan kerosakan gigi kanak-kanak adalah kekerapan pengambilan makanan dan minuman manis, kebersihan gigi yang tidak memuaskan yang menyebabkan pengumpulan plak serta teknik memberus gigi yang tidak efektif.

Prof Madya Dr Nor Azlida Mohd Nor.

“Untuk kanak-kanak yang berusia enam tahun ke bawah, mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kerosakan gigi sekiranya masih menyusu botol dan susu tersebut di tambah dengan manisan.

“Di Malaysia, peratus kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak tadika (71 peratus) adalah sangat tinggi berbanding kumpulan umur yang lain.

Dr Nor Azlida mencadangkan ibu bapa perlu memastikan anak memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari bagi mengelakkan gigi rosak.

“Seperti orang dewasa juga, gigi kanak-kanak perlu di gosok dua kali sehari pada waktu pagi dan sebelum tidur sebaik-baiknya gosok gigi dalam tempoh dua minit.

“Mulut kita sentiasa di penuhi dengan bakteria dan memberus dua kali sehari dapat memastikan bakteria jahat di musnahkan,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya  hanya memberus gigi pada waktu pagi sahaja, pengumpulan plak bakteria akan lebih banyak di dalam mulut dan berisiko untuk merosakkan gigi dan gusi kerana pada waktu tidur,  kadar air liur di dalam mulut berkurang untuk proses peneutralan asid.

Jika kita memberus gigi sebelum tidur, ia akan membantu mencegah pengumpulan plak bakteria dan melindungi gigi. 

Cara menjaga gigi kanak-kanak

Untuk kanak-kanak tadika, berus gigi mereka menggunakan ubat gigi berfluorida dengan menggunakan sedikit saja ubat gigi (saiz seperti saiz kacang tanah) kerana Fluorida penting untuk menguatkan gigi dan melindungi gigi dari serangan asid.

Pantau atau bantu anak-anak kecil memberus gigi sehingga berumur tujuh tahun supaya mereka dapat memberus gigi dengan baik dan efektif.

“Kurangkan kekerapan pengambilan makanan dan minuman manis, manakala untuk anak-anak yang masih menggunakan susu botol, keluarkan susu botol dari mulut mereka sebaik sahaja habis menyusu.

“Kanak-kanak di sarankan untuk berhenti menggunakan botol susu pada usia 1-2 tahun (atau lebih awal) dan ibu bapa boleh melatih mereka minum susu dan air menggunakan cawan,” katanya.

Dr Azlida juga mencadangkan ibu bapa wajar membawa anak-anak menjalankan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya setahun sekali.

“Ramai ibu bapa membawa anak berjumpa doktor gigi hanya apabila anak mereka sakit gigi. Ini akan membawa kepada pengalaman negatif pada kanak-kanak dan mereka mungkin mengalami ketakutan dan kebimbangan apabila berjumpa doktor gigi.

“Sebaliknya, lawatan ke klinik gigi harus menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Mulakan membawa anak anda berjumpa doktor gigi pada umur satu tahun atau apabila gigi telah tumbuh.

Prof Zamros dan Dr Azlida sepakat menyatakan ibu bapa memainkan peranan  penting untuk menjaga kesihatan gigi anak-anak mereka serta digalakkan untuk meluangkan masa memberus gigi bersama si kecil mereka.

Panduan pujuk anak berus gigi

  1. Berikan pujian kepada mereka sekiranya mereka konsisten dalam melakukan rutin memberus gigi supaya mereka terus bermotivasi.

2. Sediakan cermin di dalam bilik air, jam pasir (“2 minutes sand-timer”) untuk memudahkan aktiviti memberus gigi.

3. Perdengarkan lagu kegemaran anak-anak untuk menarik perhatian mereka sewaktu memberus gigi. Jadikan aktiviti memberus gigi satu rutin harian yang menyeronokkan bersama anak-anak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *